Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Khodi & Razqa Tampil Dengan Single Terbaru Berjudul Ke Mana

Asraf Aided 19/11/2019 | 07:55 MYT
Khodi mungkin masih nama asing dalam industri muzik tempatan, namun semangatnya membara untuk membina nama dan tampil menerusi lagu terbaru hasil kolaborasi bersama Razqa berjudul Ke Mana.
Lagu Ke Mana ini ditulis sendiri oleh Razqa yang merupakan penyanyi kembar Amzar dan Amsyar, manakala ia diterbitkan oleh Raja Mohd Sham.
Lagu ini mempertaruhkan kekuatan dari segi ritma tiga suara berbeza yang menghasilkan melodi sedap didengar.
Khodi dan Amzar menyanyikan bahagian setiap rangkap termasuk korus, manakala Amsyar melengkapkan bahagian rap.
Mesej yang terkandung dalam lirik lagu ini begitu dekat dengan pendengar, alunan melodinya juga menghasilkan aura positif yang akan melekat di halwa telinga.
Selain bakat versatil, vokal yang dimiliki Khodi sangat unik dengan suara serak basah pasti menarik perhatian ramai.
Bakat muda ini banyak mengambil inspirasi dan dipengaruhi penyanyi daripada era kegemilangan vokalis hebat termasuklah Etta James, Billie Holiday, Erykah Badu, dan Ray Charles. Tidak ketinggalan, dia turut menyanjung penyanyi tempatan seperti Datuk Shiela Majid dan Dayang Nurfaizah.
Bernaung di bawah label Sony Music Malaysia, lagu Ke Mana ini boleh dimuat-turun di iTunes dan stream menerusi semua portal muzik terpilih antaranya Apple Music, Spotify, Deezer, JOOX Music, KKBox.
#Ke Mana #Khodi
;