Laman Utama
Kid Search Rindu Arwah Isteri, Hanya Memori Yang Kekal Dalam Ingatan
Pada penghujung November tahun lalu, gitaris kumpulan Search iaitu Kid telah kehilangan isteri tercinta, Noraznin Yusof akibat kanser darah myeloma tahap empat.
Tentulah, sebagai seorang suami, pelbagai rasa menyelubungi dirinya terutama apabila arwah isteri merupakan orang kuat yang sentiasa berada di sisi Kid ketika susah dan senang.
“Saya cukup terasa apabila kehilangan dia. Maklumlah, saya dan anak-anak sudah lama hidup bersama dengannya.
“Sepanjang hayatnya, arwah isterilah yang banyak membantu dan sentiasa berkorban demi memastikan kelangsungan hidup kami semua,” katanya kepada Gempak.
Kid atau nama sebenarnya, Hamzah Md Taib itu berkata, sudah pasti ruang kosong dalam jiwanya sentiasa berbekas selepas kehilangan isteri tercinta selain kehidupannya sekeluarga kini berubah 180 darjah.
“Kehidupan kami memang berubah semenjak isteri saya pergi. Namun, saya dan anak-anak reda dengan kepergiannya dan saya bersyukur kerana dapat menjaga arwah isteri yang sedang sakit dulu sehingga ke akhir hayat,” katanya lagi.
Ditanya mengenai kehidupannya kini, Kid akui perlu belajar untuk sentiasa kuat dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Tambah Kid, hanya kenangan bersama arwah isteri yang sentiasa segar tersimpan dalam lipatan memorinya.
“Arwah merupakan seorang yang sangat rajin dan sentiasa melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh. Kalau dia mahukan sesuatu, dia akan usaha dapatkan.
“Hubungan kami juga sangat rapat. Sehinggakan dia tahu jika saya ada masalah atau memerlukan sokongan yang lebih dari segi karier dan juga kehidupan. Sudah pasti, saya akan rindunya,” katanya lagi.
Allahyarham Noraznin menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) selepas hampir setahun bertarung dengan penyakit kanser darah myeloma tahap empat.
Arwah yang sebelum ini pernah koma selama 10 hari meninggalkan Kid bersama dua cahaya mata, Deanda dan Aaqil Naquidean.