Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Viral

Kisah Kanak-Kanak Sempat Kafan, Kebumi Jenazah Bapa Sebelum Duduki Kertas Akhir UPSR Buat Netizen Sebak

Kamaruddin Razal 15/09/2017 | 11:03 MYT
Pemergian orang tersayang merupakan perkara paling menyedihkan bagi sesiapa sahaja.
Justeru, kisah anak kecil ini yang berjaya melaksanakan satu tanggungjawab, meskipun baru sahaja melalui satu episod kehilangan dalam hidup, mungkin perlu dijadikan inspirasi.
Seorang guru yang menggunakan nama Cikgu Hussayn di Facebook berkongsi kisah anak muridnya, Azri Haziq Hairul Saleh, yang tekad ke sekolah untuk menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), biarpun baru kehilangan bapanya.
Azri hadir untuk menduduki kertas Sains 1 pada sebelah pagi dengan berpakaian baju Melayu.
Murid SK Putrajaya Presint 8(2) juga terpaksa menduduki peperiksaan di SK Rantau Panjang, Klang kerana jenazah bapanya dikebumikan di sana.
Selesai peperiksaan, dia bergegas pulang untuk turut sama memandikan, mengkafankan dan mengebumikan bapanya.
Selesai upacara pengebumian, dia kembali ke sekolah untuk menghabiskan kertas terakhir.
Difahamkan, bapa Azri meninggal dunia malam kelmarin di Hospital Putrajaya.
"Cikgu nak Azri tahu yang cikgu bangga dengan keputusan yang Azri buat untuk terus menduduki UPSR kerana tak ramai di luar sana mampu hadapi dan lakukan apa yang Azri lakukan hari ini," tulis Cikgu Hussayn.
Kisah Azri telah menerima hampir 8,000 kali perkongsian.
Rata-rata netizen berkongsi rasa sebak selepas membaca kisah Azri dan menyifatkan Azri sebagai seorang kanak-kanak yang tabah.
Sumber: Astro Awani
Foto: Facebook Cikgu Hussayn
#Viral #Viral #UPSR
;