Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Kita Merisikokan Pesakit” - Pelajar Perubatan Dihalau Ambil Exam Sebab Tolak Vaksin, Doktor Perjelas Impak Sebenar!

Hanafis Haris 15/06/2021 | 11:05 MYT

Seorang doktor tampil menjelaskan kepentingan pelajar perubatan mengambil vaksin sebelum peperiksaan berlangsung.

Penjelasan itu dibuat susulan kes pelajar dari sebuah universiti tempatan mendakwa dirinya dilarang menduduki peperiksaan kerana belum menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menurut doktor tersebut, dia berkongsi pendapat berdasarkan pengalamannya sebagai bekas pelajar perubatan dan seorang pelajar sarjana (Master).

“Pertama, peperiksaan perubatan ini melibatkan pesakit. Bila kita memilih untuk menolak vaksin, kita merisikokan pesakit yang terlibat dalam peperiksaan kita itu dijangkiti melalui kita.

“Kena ingat, kita boleh jadi pesakit tanpa simptom.

“Kedua, pelajar perubatan terdedah dengan risiko jangkitan sewaktu berada di kawasan klinik seperti di klinik-klinik dan di wad-wad.

“Tanpa vaksinasi, risiko mereka dijangkiti adalah lebih tinggi. Walaupun risiko jangkitan serius itu rendah kerana kebanyakan mereka muda dan sihat, mereka boleh menjangkiti orang lain,” katanya.

Tambahnya, pihak universiti juga bertanggungjawab menjaga keselamatan pelajar keseluruhan.

“Vaksinasi terbukti menjana perlindungan individu dan juga kelompok herd immunity.

“Pihak universiti berhak membuat peraturan demi menjaga masalah pelajar-pelajar lain.

“Saya teringat kata-kata Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu forum berkaitan vaksinasi.

"Apabila bertembung kepentingan peribadi dan maslahah ummah, masalah ummah perlu didahulukan" katanya.

Jelasnya, dia berharap perkara dan isu tersebut dapat diselesaikan dengan baik.

“Semoga adik Nik Farah Ellisha tidak menjadi boneka yang dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab,” katanya menerusi satu posting di Facebook.

Sekadar info, isu bermula apabila pelajar itu dikatakan tidak menerima sebarang tarikh temu janji untuk mendapatkan vaksin.

Pun begitu, pada tarikh peperiksaan iaitu pada 8 Jun yang lalu dia tetap hadir untuk menduduki peperiksaan berkenaan sebelum pihak universiti dikatakan melarang serta memintanya untuk meninggalkan dewan.

Disebabkan itu, dia terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Pada masa sama, Universiti Malaya (UM) memaklumkan pihak pengurusan universiti memandang serius laporan polis yang dibuat pelajar terbabit dan sedang meneliti perkara itu secara lebih terperinci.

Katanya, pihak universiti juga terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak terbabit demi menyelesaikan perkara itu.

BACA : Pelajar Dihalang Ambil Peperiksaan Kerana Belum Divaksin? Ada Setuju, Ada Yang Kesal - “Ini Bukan Soal Dia Seorang”

#Rela #Doktor #Perubatan #UM
;