Laman Utama
Konsert Aku Faizal Tahir Jadi Cermin Kejujuran Faizal Tahir, Mujur Tak Balik Pakai Boxer Lepas Berduet Dengan Siti
Apabila seorang pelaku seni yang sudah 17 tahun meledani pekerjaan dan sepak terajang dunia hiburan melakukan konsert sulung, ia menjadi sebuah ‘medan’ bukan hanya untuk sekadar menyanyi dan menghiburkan tetapi sedang menelusuri fragmen-fragmen karier sejak awal hingga kini.
Itulah yang dapat dilihat menerusi konsert sulung komposer dan penyanyi terkenal Faizal Tahir ; Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur 2023 di World Trade Center Kuala Lumpur pada 2 September lalu.
Seperti kata Faizal dalam pertemuan bersama media usai konsert yang dibawakan oleh JioBuddy itu, beliau telah melalui banyak fasa seni — bermula daripada terbabit dengan program realiti One In A Million, menyanyikan lagu hitnya, Mahakarya Cinta yang disifatkan sebagai satu ‘sabotaj’ sehingga melahirkan single-single ‘yang bukan Faizal Tahir’ seperti Ragaman, OK dan Santai.
Dan di atas pentas, Faizal Tahir juga tidak memerlukan gimik, tidak terlalu berusaha keras membuktikan dirinya penghibur sempurna apa lagi cuba melakukan hal-hal aneh hanya untuk dikenang.
Cukup lelaki berusia 44 tahun ini muncul di pentas bermula dengan persalinan putih tanpa sepatu yang disifatkan seperti baru dilahirkan kemudian hitam (corak yang tercipta sepanjang hayat) dan ada masa memakai tengkolok yang diakui dibikin sendiri, Faizal Tahir menyuntik faktor X dalam konsert tersebut menerusi puluhan lagu hit yang didendangkan secara langsung.
Lagu-lagu tersebut termasuklah Cuba, Bencinta, Gemuruh, Karma, Sejati, Malaysia, Fire & Water, OK, Ragaman, Bisa Aja, Santai —- yang kesemuanya telah memberi impak besar terhadap karier seni Faizal Tahir.
Konsert menjadi sebuah ‘konsert sebenar’ apabila sistem bunyi dan penyampaian jelas keluar daripada setiap seorang (termasuk instrumen) Dan semua kerja balik tabir ini perlu diberi kredit kepada meastro Jennifer Thompson.
Dan bonus pada malam konsert apabila sesi jamming dihidupkan dengan sikap sporting penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang secara spontan naik ke pentas dan menyanyi bersama Faizal Tahir menerusi lagu duet Dirgahayu — walaupun Faizal beberapa kali berseloroh bakal pulang memakai boxer kerana tidak mampu membayar Siti.
Sikap sporting Siti kemudian disambung rakannya, Alif Satar yang mendendangkan Gemuruh bersama membuat suasana konsert kecoh dengan tepukan dan sorak sorai penonton.
Bercakap tentang suksesnya Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur yang dihadiri sekitar 3,000 penonton, Faizal tanpa henti mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi.
“Allah bagi saya waktu yang sangat cantik untuk buat konsert ini biarpun jadual sangat padat, dengan masalah kesihatan anak dan sebeluamnya naik haji. Jadi ini (17 tahun) tidak terlalu lambat untuk buat konsert.
“Alhamdulillah jika sebelum ini saya rasa susah nak buat konsert, saya rasa macam mahu buat lagi selepas melihat sambutan. Jika ada permintaan tinggi, berbaloi, jika saya boleh sampaikan sesuatu yang baik kepada semua, Insha Allah (lakukan konsert),” ujar Faizal.
Mengakui sempat tidak yakin diri membuat konsert, mendendangkan puluhan lagu dengan vokal konsisten namun Faizal Tahir telah membuktikan lewat pengalaman dan mind set yang ditekankannya berulang kali bersama dukungan sekeliling yang baik, beliau mampu membuat Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur sebagai sebuah kenangan baik dan bermanfaat (banyak perkongsian positif diselang seli nyanyian).
Dan hanya sebuah anekdot, sebagai salah seorang pengamal media yang pernah melihat zaman ‘aku rockstar’, ‘dingin’ serta sikap mahu membuktikan ‘aku bagus’ dalam setiap persembahannya, Faizal Tahir sangat jujur menerusi Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur.
Beliau tidak memerlukan banyak ‘perencah’ untuk menjadikan dirinya sukses — cukup dengan kekal membumi dan melahirkan karya yang bermanfaat.