Laman Utama

Konsert Coldplay: "Kalau Saya Bantah Pun, Orang Tetap Pergi, Tiket Tetap Sold Out" - PU Amin

Amri Hassan
17/05/2023
06:30 MYT
Sponsor Banner
Konsert Coldplay: "Kalau Saya Bantah Pun, Orang Tetap Pergi, Tiket Tetap Sold Out" - PU Amin
Pendakwah bebas, PU Amin berpendapat cara paling afdal untuk membantah penganjuran sesuatu konsert adalah menyediakan hiburan alternatif misalnya konsert Islamik.
PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim, 33, bagaimanapun lebih selesa untuk mengambil pendekatan tidak membantah atau menyokong mana-mana pihak terutama berkaitan penganjuran konsert Coldplay yang mendapat pelbagai reaksi ramai ketika ini.
"Bukan hanya Coldplay, sebelum ini pun ada juga bantahan terhadap konsert-konsert lain yang agak 'keras'. Kalau kita tengok momentum masyarakat kita pun siap boleh beratur nak beli tiket.
"Bagi saya ketika ini, jika kita nak kata jangan datang, jangan pergi, semua itu dah tak sesuai sebab orang tetap pergi dan orang tetap mengamuk.
"Jadi kita buat alternatif! Kita cakap jangan pergi, tak ada konsert, jadi apa alternatif yang kita tawarkan? Sebab itu kita buat majlis selawat, ada juga nyanyian, ada gema dan ada juga irama tapi ada batasan.
"Bagi saya sesiapa yang minat, merasakan tiada masalah dipersilakan. Kita pun tak ada mengajak atau mempromosi.
"Jadi, kita membantah bukan dengan vokal, kita membantah dengan menyediakan alternatif. Ia juga satu bentuk bantahan," katanya kepada Gempak.
PU Amin yang ditemui ketika majlis pelancaran Program Islamik Havoc Street Food Fest 2023 di Shah Alam beranggapan bantahan secara agresif hanya akan memberikan impak sementara.
"Untuk mengatakan sesuatu perkara itu haram, kita tidak berkata direct haram tetapi menyediakan alternatif yang halal dan baik dan orang gunakan. Itu juga ialah satu bentuk bantahan.
"Dulu saya bersifat begitu, buat bantahan kepada nama besar, tapi orang akan cakap saya tumpang populariti. Padahal sebelum ini senyap saja, bila ada hal sebegini tiba-tiba mengamuk.
"Bagi saya hal ini akan memberikan kesan dari sudut publisiti (yang sementara), tapi tidak kesan kepada masyarakat. Pengikut memang naik tapi dari aspek motivasi dan hala tuju dakwah tak jadi la.
"Jadi kita sokong alternatif seperti konsert Islamik lebih mendidik jiwa dan kebudayaan.
"Contoh ketika Blackpink datang Malaysia, Raihan juga buat konsert. Mereka membantah dengan cara begitu. Saya rasa ia lebih releven dan berjaya menarik minat orang muda. Saya rasa itu bantahan paling santun," jelasnya.
Terdahulu, beberapa agamawan tampil bersuara berikutan penganjuran konsert Coldplay yang dijadualkan berlangsung pada November hadapan.
Sementara itu, PU Amin dilantik sebagai duta kepada Program Islamik Havoc Street Food Fest 2023 dan panel kepada Program Ilmu Allah Tak Pernah Benci Kita bersama Da'i Azhar yang akan berlangsung pada 2 Jun di Dataran Serambi Teruntum, Kuantan.
Menariknya juga, Malam Berselawat & Qasidah Perdana akan dilaksanakan di lokasi sama pada 3 Jun 2023 dengan penampilan khas Habib Nael Bentaher, Habib Mahdi Alhamdi, Syeikh Mahmoud Wasobi dan kumpulan Inteam.
Program Islamik Havoc Street Food Fest 2023 akan berlangsung pada 1 hingga 5 Jun di Dataran Serambi Teruntum, Kuantan selain turut dijadualkan ke Kedah, Terengganu, Melaka, Johor dan Shah Alam.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar