Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Konsert Metal Legends Cromok–XPDC Guna Khidmat Sistem Bunyi Canggih Bernilai RM400,000!

Syafiqah Jalal 28/01/2018 | 09:50 MYT
Dua kumpulan rock legenda tempatan, XPDC dan Cromok yang bakal berkongsi pentas menerusi konsert Metal Legends Live In Concert akan menggunakan khidmat sistem bunyi bernilai RM400,000.
Salah seorang anggota XPDC, Mael berkata peminat bakal merasai pengalaman yang berbeza di konsert yang akan diadakan di Maeps, Serdang pada 3 Februari ini kerana sistem bunyi yang digunakan sanggat canggih diimport khas dari China.
“Konsert ini akan diperkuatkan lagi dengan sistem audio paling canggih iaitu ’64 sub-bass’ yang belum pernah digunakan dalam mana-mana konsert di Malaysia sebelum ini.
“Sistem bunyi dan audio ini antara yang terbaik yang digunakan di konsert-konsert antarabangsa.
“Ia dibawa khas dari China dan kos hanya untuk sistem bunyi ini sahaja mencecah RM400,000.
“Saya pasti peminat akan berpuas hati dengan persembahan kami nanti,” katanya kepada Astro Gempak.
Konsert metal ini melibatkan XPDC yang dianggotai line up asal iaitu Mael selaku vokalis, Jeff (gitar utama), Zua (pemain bass) dan Amy (pemain dram).
Sementara itu, pemain gitar utama Cromok, Karl berkata, mereka sudah giat melakukan latihan sejak sebulan lalu untuk persiapan konsert tersebut.
“Kami sudah mula berlatih sejak sebulan lalu di sebuah studio di Wangsa Maju dan latihan biasanya kami lakukan dalam tiga kali seminggu.
“Harap peminat dapat turun beramai-ramai kerana kami janjikan konsert kali ini memang cukup berbeza dengan show-show yang pernah diadakan sebelum ini,” katanya.
Selain Karl, Cromok turut dianggotai Sam selaku vokalis dan Mizi pemain drum.
Tiket konsert dijual pada harga RM68 hingga RM250 dan boleh didapati di ILasso Ticket Sdn Bhd.
Untuk sebarang maklumat lanjut, boleh hubungi ejen tiket di talian 011-35030241.
Teks oleh: Syafiqah Jalal
#Konsert #Konsert #XPDC #Cromok #Konsert Metal Legends
;