Laman Utama
Konsert Satu Suara Vol: 3 Capai Matlamat, Siti Berjaya Kumpul Dana Buat Rakyat Malaysia & Kanak-Kanak Di Gaza
Bukan bertujuan untuk berhibur semata-mata, namun penganjuran Konsert Satu Suara Vol:3 Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama Jay Jay dan Ernie Zakri yang berlangsung di Mega Arena Star, Sungei Wang, Kuala Lumpur malam tadi berjaya mencapai matlamatnya.
Konsert untuk tujuan amal yang dianjurkan Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Production itu ujar Siti telah mendapat dana yang memberangsangkan hasil sumbangan korporat dan orang perseorangan.
“November lalu kami berjaya mengumpul dana lebih RM1 juta. Untuk malam ini walaupun dengan hanya kutipan pada satu malam, namun kutipannya masih memberangsangkan.
“Saya sangat berterima kasih kepada syarikat korporat dan orang perseorangan yang banyak menyumbang dana untuk disalurkan kepada rakyat Malaysia dan anak-anak Gaza yang memerlukan,” ujar Siti saat ditemui media pada sidang akhbar Konsert Satu Suara Vol: 3 di Hotel Park Royal, tengah malam tadi.
Menurut Siti kerana itu diselang seli persembahan nyanyiannya, Jay Jay dan Ernie, mereka menyelitkan visual aktiviti dan program yang dianjurkan Yayasan Nurjiwa.
“Sehingga sekarang pun, kutipan dana masih lagi diteruskan untuk mereka yang memerlukan menerusi Yayasan Nurjiwa,” katanya yang mengasaskan yayasan tersebut bersama suami tercinta, Datuk Khalid Mohamad Jiwa.
Selain itu Siti juga berpuas hati dengan konsert siri ketiga yang menampilkan penyanyi legenda, Jay Jay dan Ernie Zakri.
“Memilih abang Jay Jay, seorang penyanyi legenda yang sangat rendah diri dan Ernie Zakri yang mempunyai bakat luar biasa adalah satu pilihan yang tepat.
“Saya bersyukur kerana walaupun pada awalnya nampak jualan tiket agak perlahan kerana kita masih lagi dalam bulan Syawal, terjual pantas pada saat akhir sehingga petang sebelum konsert masih ada yang telefon saya bertanyakan tiket,” katanya.
Malah bersempena bulan Syawal, Siti bersama Jay Jay dan Ernie turut memberi ‘buah tangan’ kepada sekitar empat ribu penonton yang hadir menerusi beberapa untaian lagu raya termasuk Nazam Lebaran yang menjadi lagu penutup konsert.