Laman Utama
Kontroversi Perkauman, Zul Huzaimy Terima Ugutan - "Saya Serah Semuanya Pada Pihak Berkuasa”
Pelakon Zul Huzaimy akui menerima ugutan susulan terpalit isu kontroversi disebabkan ucapan menyentuh isu golongan bukan muslim dan berbaur perkauman baru-baru.
Bagaimanapun kata Zul, dia menyerahkan segalanya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan bersedia memberikan kerjasama dengan sebaiknya.
“Saya ada terima ugutan tetapi saya tidak boleh mendedahkan jenis ugutan tersebut kerana menyerahkan semuanya kepada pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa sedang melakukan siasatan dan saya juga sudah memberikan kerjasama sepenuhnya dan siasatan masih dijalankan,” katanya ketika ditemui media selepas acara pratonton filem Daddyku Gangster bertempat di TGV, Sunway Velocity pada Rabu.
Mengulas mengenai peristiwa itu, Zul berkata dia mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku.
“Sebagai seorang manusia biasa, saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan yang adakalanya tersasar, menggunakan perkataan yang tidak bersesuaian.
“Saya tidak sukakan kontroversi, jika lihat sebelum ini pun mana ada saya buat apa-apa. Semua orang pelik kenapa Zul macam itu.
“Jadi itulah manusia… Saya harap penonton dan peminat saya memahami apa yang berlaku itu adalah lumrah sebagai manusia.
“Saya juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, apa yang berlaku itu adalah pengajaran untuk saya.
“Saya pada semua, mohon jangan kaitkan filem ini dengan isu politik. Saya mohon berikan sokongan terhadap naskhah ini,” jelasnya.
Terdahulu, Zul terpalit dengan kenyataan sensitif itu dalam satu program di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.
Kenyataannya itu dirakam oleh orang ramai kemudiannya menjadi tular sehingga pihak polis membuka kertas siasatan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.