Kudeta Bukan ‘Cermin’ Situasi Malaysia, Vanidah & Aedy: “Politik Bukan Untuk Kami”
Sangat jarang terlihat di kaca televisyen lewat kebelakangan ini, aktres berprolifik, Vanidah Imran mengejutkan peminat dengan kemunculannya dalam sebuah naskhah ‘berat’, Kudeta.
Beliau malah memainkan karakter yang cabarannya cukup besar. Sebagai pemenang pelbagai anugerah dan kredibiliti lakonan yang tidak diragukan lagi, beliau diamanahkan membawa watak Mariam Imran, Perdana Menteri Wanita Pertama Masraya.
Bersama Vanidah, ada banyak barisan aktor gred A yang menjayakan naskhah tulisan June Tan, Zuli Ismail, Hadi M. Nor, Imran Sheik dan diarahkan oleh Imran Sheik dan Kroll Azry itu.
Selain nama gah seperti Nam Ron, Adlin Aman Ramlie, Fazlina Ahmad Daud, seorang aktor muda, Aedy Ashraf ikut ‘bersanding’ dengan pemain pemain hebat industri seni tempatan ini.
Aedy, meski nampak ‘kecil’, sebenarnya punya misi besar dalam Kudeta; rampasan kuasa secara licik kerana kecerdasannya.
Kepada #G The Untold Story, kedua-dua bintang yang pernah menjadi ibu dan anak sewaktu Aedy berusia 7 tahun menerusi Doa Imran itu berbagi pengalaman tentang siri premium Astro, tetapi pendapat mereka mengenai hal-hal sekitar kita.
#G: Vanidah Imran, anda terbabit dalam Kudeta kerana watak Perdana Menteri Wanita Masraya, Mariam atau tertarik dengan keseluruhan konsep naskhah ini?
Vanidah: Watak Mariam ini berat. Saya takut komitmennya, pengisian dan tuntutan dalam Kudeta yang sangat tinggi.
Saya juga tertarik dengan konsep cerita kerana jarang penerbit berani bawa tema sebegini di kaca televisyen. Ditanya tak takut ke buat cerita politik? Ya mungkin ada kontroversinya, tapi politik adalah politik (yang sama) di seluruh dunia. Cuma cara ‘permainan’ berbeza mengikut polisi sesebuah negara. Kalau ada yang terasa, politik, di dunia lain juga ada yang memainkannya.
Tapi lepas jumpa dengan Raja Jastina, bincang dengan beliau, akhirnya saya setuju walaupun sewaktu penggambaran, saya tanya diri sendiri; ‘apa aku buat di sini, what im doing? Susah.’
#G: Di Malaysia, terutama di kaca televisyen, jarang masyarakat dipertontonkan dengan naskhah berat berkaitan politik, tetapi Kudeta berjaya dilakukan, kenapa?
Vanidah: Agak sukar kerana saya rasa kita tidak ada lesen kreatif dan kita ada banyak isu yang tidak boleh sentuh. Kebebasan berkarya (tentang politik) di sini tidak sebebas seperti di negara lain.
Ini berbeza dengan naskhah yang memaparkan tentang keruntuhan moral dan akhlak, ini nampaknya yang lebih banyak dipertontonkan di negara kita. Tapi bila kita bincang pasal politik atau benda yang realistik membuka minta penonton, tak ada yang berani ambil.
Sebab itu saya gembira Astro Shaw ambil langkah memberi audiens berfikir dengan naskhah seperti ini. Dan setakat ini respons yang saya dapat, rata rata penonton suka kerana Kudeta memberikan sesuatu yang buat orang berfikir.
#G: Kebetulan Kudeta ditayangkan pada situasi politik negara yang sedang dalam peralihan kuasa?
Vanidah: Ya, memang tak sangka tayangannya jatuh kebetulan mirip dengan situasi politik negara kita. Ini tidak direncana kerana penggambaran naskhah ini sudah dilakukan lama.
#G: Anda melihat watak Mariam lebih kepada kesetaraan gender atau hanya sekadar lakonan dari seorang aktres kepada audiens?
Vanidah: Nak kata sekadar lakonan untuk audiens tidak juga, sebab nak make believe karakter Mariam memang kena selaminya.
Nak cakap pasal women empowerment, ada sedikit. Tapi apabila menjadi first lady, ia bukan lagi soal gender, tapi lebih kepada pemimpin dan memikirkan tentang negara dan ada banyak tantangan yang mahu menjatuhkan dan merampas negara daripada saya. No matter berapa cepat kita ke depan, kita kena smart dan kena tahu kawal situasi sewaktu berada di satu satu tempat.
#G: Apa yang anda kutip dalam Kudeta?
Vanidah: Berat sangat jadi seorang kepala negara atau PM. Dalam Kudeta ini sebenarnya isu yang dibangkitkan sangat sikit. Bayangkan jadi PM sebenar nak selesaikan sesuatu isu misalnya tidak boleh secara terus terang tapi seperti kena create satu isu untuk menutup isu lain. Susah, gamenya susah.
Semestinya politik bukan untuk saya. No, no, saya akan hilang banyak masa dengan keluarga saya.
#G: Lebih mudah jaga rumah tangga atau negara?
Vanidah: Negara kena jaga kestabilan dan pastikan semua pihak berpuas hati, rumah tangga kena tangani dengan emosi jadi ia berbeza. Rumah tangga, di rumah, sebagai wanita, akan jatuh status sebagai isteri, bukan lagi wanita yang berkuasa.
#G: Dalam Kudeta, hampir semua pemainnya dari gred A. Watak berat dan dialog juga sama.
Vanidah: Betul, setiap lawak watak saya perlu hadapi juga berlainan. Watak Nam Ron misalnya sebagai pembangkang Islamic, watak Adlin yang licik, game yang sangat lain.
Ini termasuk watak Putra lakonan Aedy Ashraf yang pada mulanya tak sedar dia seorang yang licik. Menariknya, saya pertama kali shooting dengan Aedy sewaktu dia umur 7 tahun, namanya Imran cerita Doa Imran, saya jadi mak dia.
Sudah lama tak berlakon sama Aedy, dari kecil melihat dia sehingga sekarang bekerja dengannya, dia seorang yang sangat bekerja keras, berdisplin dan akan pergi lebih jauh pada masa depan.
Dalam Kudeta, apa yang saya perhatikan adalah kekuatan dia adalah mata. Dalam dunia seni, mata tidak boleh menipu kerana penjiwaan datang dari mata. Itu yang Aedy lakukan.
Saya pun bekerja 200 peratus. Kalau tengok skrip, saya tak ada ruang dalam otak berehat, scene saya back to back dengan cara berbicara yang berbeza dan dialog yang panjang berjela.
Habis job ini saya tak bercakap dan rasa macam ‘terkeluar’ dari space kerana ia mengambil energi saya dengan sangat banyak.
Dapat Banyak Tawaran Jadi Mak Mak, Tapi…
#G: Walaupun Kudeta disifatkan sangat berat buat anda, tapi adakah anda berpuas hati dengan hasilnya apabila ia ditayangkan.
Vanidah: Saya akan puas jika audiens nampak watak Mariam, baru saya akan rasa puas.
Bila orang sudah meletakkan ekspektasi hanya kerana saya Vanidah Imran, inilah tekanannya. Saya kena buat homework, bina karakter dan berfikir menghidupkan ia. Saya masih perlu kerja keras, semua tak datang mudah. Saya bersyukur saya ada latar belakang dalam teater.
#G: Selain watak seperti Mariam, peran yang bagaimana anda inginkan lagi?
Vanidah: Dalam usia saya macam ini jarang ada watak fun, maksudnya i wish i can work project seperti yang dimainkan Meryl Streep atau Viola David. Di sini, kita tidak ada, asyik jadi mak itu, mak ini.
Saya dapat banyak tawaran watak mak dan saya tidak ada masalah dengan itu. Jika pengisiannya bagus, saya akan buat.
Cuma saya percaya, generasi pelaku seni seusia saya rasa apa yang saya rasa. Kebanyakannya masih aktif dan terpaksa ambil watak mak mak kerana kelangsungan hidup, jadi semua jalan. Adakah mereka tak terasa terhina jadi ibu kepada pelakon usia lewat 20 tahun? Dan kadang bila ambil job, kita menutup pula peluang kakak kakak senior kita.
#G: Apa yang anda lihat atau membuat anda tertarik untuk menonton sesebuah naskhah?
Vanidah: Saya mahu tonton apa yang saya boleh belajar dan tiada pengkhususan genre. Ada drama yang kadang saya tengok pelakon atau produksinya, tapi selalunya saya menonton sesuatu yang saya boleh peroleh ilmu. Sebagai orang seni, saya bukan sekadar tengok tapi melihat semua detailsnya.
"Wanita Boleh Jadi PM, Tapi Tak Boleh Tadbir Rumah Tangga" - Aedy Ashraf
#G: Aedy Ashraf, apakah cabaran menjayakan watak Putra sekaligus bermain dalam Kudeta?
Aedy: Saya tidak pernah membawa karakter seperti Putra dan saya cuba yang terhabis baik. Ini juga karakter yang paling pressure saya pernah bawa. Sebab itu juga saya terima tawaran bermain dalam Kudeta kerana mahu memberi tekanan kepada diri sendiri.
#G: Apa persamaan Aedy Ashraf dengan Putra?
Aedy: Saya seorang yang suka membaca. Jika tidak baca skrip, saya akan baca buku, tetapi karakter Putra membuat saya lebih banyak membaca kerana kena tahu banyak tentang perundangan dan pengisian menjurus tentang negara.
Jika nak bandingkan watak Putra dengan diri sebenar Aedy Ashraf, ia memang jauh panggang dari api. Apa lagi ekspektasi penerbit dan pengarah terhadap saya tinggi, jadi ia memberi tekanan kepada saya.
#G: Bagaimana rasanya bermain satu gelanggang bersama barisan pelaku seni gred A dalam naskhah ini?
Aedy: Saya rasa saya jenis kalau diletakkan dalam kalangan orang yang bagus bagus, saya akan membara semangat, tetapi kalau saya dalam kalangan yang biasa biasa, saya juga jadi biasa biasa sahaja.
Berkongsi set dengan barisan pelaku seni gred A, mereka sudah tahu apa nak ‘dimainkan’. Saya yang sekecil kecilnya ini, yang paling muda daripada Kak Vee, Abang Nam Rom atau Adlin Aman Ramli kena bekerja 200 peratus lebih keras kerana energi mereka sudah sangat kuat. Saya kena ride the waves, banyak effort saya untuk pastikan semua selari.
#G: Apa definisi rampasan kuasa atau Kudeta pada anda?
Aedy: Karakter Putra pun berkaitan dengan Kudeta atau rampasan kuasa. Dia cuba makan kuasa sebab mentalitinya bila ‘makan orang yang bagus akan jadi bagus’. Tiada siapa yang boleh tahan dia untuk terus maju. The greatest person yang dia tahu adalah Mariam (untuk dimakan), jadi dia pergi dapatkannya tanpa Mariam perasan perkara itu. Sebab Mariam juga sama seperti Putra.
#G: Secara peribadi anda ke arah politik?
Aedy: Tidak sangat, tapi saya baca politik. Malah sejak sudah jadi pengundi, saya mahu ambil tahu lebih tentang politik. Saya rasa dalam keadaan sekarang pun semua orang sama macam saya, mengambil tahu tentang situasi politik sekarang.
#G: Dan jika sekarang calon PM yang anda undi tidak menjadi pemimpin negara, anda okay?
Aedy: Saya okay kerana saya ada hak untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang. Malaysia negara demokrasi dan siapapun yang memimpin, walaupun bukan pilihan saya, asalkan boleh mentadbir dan memajukan negara, saya okay.
#G: Sebagai rakyat, jika pada masa hadapan Malaysia mungkin akan ditadbir oleh pemimpin atau PM wanita, adakah anda okay?
Aedy: Saya okay, saya tak ada masalah jika satu hari PM Malaysia perempuan. Tak ada masalah perempuan tadbir negara. Tapi bukan wanita menjadi pentadbir dalam rumah tangga.
#G: Terlanjur bercakap tentang wanita tadbir dalam rumah tangga, bila anda mahu kahwin?
Aedy: Tak jumpa lagilah kak. Sebenarnya, masa saya muda dalam usia 18 tahun, saya memang mahu kahwin awal sekitar umur 23 macam itu sebab saya suka kanak kanak. Jadi plannya kahwin muda, ada anak, anak membesar bersama saya. Tapi sekarang pandangan saya terhadap institusi perkahwinan sudah berubah. Kepercayaan saya terhadap perkahwinan berkurangan.
Buat masa ini, saya tidak melihat berkahwin sebagai satu kepentingan lagi.Saya enjoy dan gembira dengan kehidupan sekarang. Jadi nak cakap soal kahwin sekarang, memang belum. Mungkin pemikiran itu akan bertukar nanti, tapi bukan sekarang. Namun saya tetap sukakan kanak kanak.
#G: Anda rasa audiens akan lama melihat anda lagi sebagai pelaku seni?
Aedy: Saya enjoy berlakon dan tak pernah fikir ia sebagai sebuah pekerjaan. Saya lihat ini sebagai sebuah escapism. Saya akan rasa resah bila tidak berlakon, walaupun harus saya akui dunia seni ini sangat menyeramkan.
Berlakon ini bukan satu pilihan saya. Tapi saya anggap telah dilahirkan dalam industri. Jika saya ada pilihan, saya mungkin tidak akan jadi pelakon kerana sejujurnya saya takut akan perhatian.
Tapi saya memang ditakdirkan hidup dalam dunia seni. Ibu saya seorang pelakon, saya sudah berlakon sejak dalam perut ibu dan menjadi anak seni sejak kecil sehingga sekarang.
Saya sudah berlakon dengan Kak Vee pada usia 7 tahun sebagai anak dan ibu dan di Kudeta ini sekali lagi kami berkongsi layar yang sama. Saya fikir dunia seni ini memang sudah jadi taman permainan saya, jadi semua orang akan melihat saya lama lagi dalam industri ini.
Atau mungkin satu hari nanti jika orang sudah tidak mahu melihat saya berlakon, saya tetap akan ada dalam industri, menjadi sebahagian daripada tim sebalik tabir.
#G: Aedy, anda menjadi antara aktor yang sangat jarang ditemu bual. Kenapa?
Aedy: Saya tidak suka perhatian. Saya memang cakap kepada pengurus, saya dedikasikan hidup hanya untuk bekerja atau berlakon. Saya memang jarang terima temubual ataupun ambil tawaran muncul dalam talkshow.
Tapi saya kadang faham, untuk terus relevan, saya perlu promosikan diri juga. Cuma saya kurangkan temu bual kerana mahu kekang tentang peribadi berbanding mengenai kerja seni saya.
Tayangan perdana Kudeta setiap Jumaat pukul 10 malam.
Tonton Kudeta setiap Ahad menerusi On Demand dan Astro GO atau di saluran Astro Ria setiap hari Isnin pukul 9 malam.