Laman Utama
"Kulit Kepala Terkopek, Bleaching Sampai 4 Kali" - Aeril Zafrel Serik Nak Warnakan Rambut
Melihat kandungan-kandungan yang dikongsikan pada platform media sosial milik Aeril Zafrel, pasti warna rambut ‘perang kelabu’ yang digayakan oleh pelakon tersebut menyorot perhatian ramai.
Tentulah, rona rambut tersebut dilihat begitu menyerlah dan bertentangan dengan warna asal jambangnya yang masih hitam.
Berpeluang bertemu dengan Aeril di acara Viu Upfront 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur baru-baru ini, suami kepada pelakon Wawa Zainal itu berkata, dia berasa agak serik mewarnakan rambutnya secerah itu.
Menurut Aeril, kulit kepalanya mengelupas dan dia mengalami sakit-sakit kepala saat seminggu selepas mewarnakan rambutnya.
“Sebenarnya, rambut ini saya warna untuk watak baharu. Saya cuba-cuba sebab nak tengok sesuai ke tak.
“Tapi saya rasa serik juga nak dye rambut lepas ni. Sebab sakit kepala! Nak dapatkan warna yang terang macam sekarang ni, saya perlu lalui proses bleaching sebanyak empat kali.
“Sampai kulit kepala pun semua terkopek. Hampir seminggu jugalah nak recover,” katanya kepada Gempak.
Sungguhpun melalui proses pelunturan yang agak teruk, namun Aeril tidak teragak-agak untuk melalui proses yang sama pada masa akan datang jika watak dalam drama atau filem memerlukannya untuk mengubah gaya pada rambut.
“Walapun ambil masa yang agak lama untuk pulih, tapi mungkin juga saya akan mewarnakan rambut seperang ini… bergantung juga, kita kena tengok pada watak,” tuturnya.
Ditanya adakah Wawa okey dengan penampilannya sekarang, Aeril berkata: “Dia ok sahaja,” tuturnya ringkas.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!