Berita
"Kurangkan Pergaulan Dengan Kawan Yang Seksi Atau Tidak Berhijab Sebab..." - Joy Revfa Kongsi Tips 7 Tahun Dirinya Istiqamah Bertudung!
Setiap orang memang mengimpikan sebuah penghijrahan hidup ke arah yang lebih baik.
Antara yang sering kita perhatikan termasuklah penghijrahan imej daripada tidak bertudung kepada berhijab.
Namun, tidak dinafikan, adakalanya, perkara paling sukar dalam sesuatu penghijrahan itu adalah untuk terus istiqamah dalam melakukan satu-satu perkara.
Begitu juga yang dirasai usahawan terkenal yang juga bekas isteri penyanyi Hafiz Hamidun, Joy Revfa.
"Kita ni sepatutnya semakin berjaya semakin dekat dengan Allah, tapi kenapa semakin kaya dan berjaya semakin jauh dari Allah ya?
"Ustazah pesan, nak istiqamah bermulalah perbaiki pakaian dan penampilan kita. Alhamdulillah kini Joy dah tujuh tahun berhijab dan tak pernah buka.
"Walaupun tak suka pakai anak tudung sangat dan rambut pun selalu terkeluar-keluar anak duk tarik-tarik, namun tetaplah sama-sama berjuang dan teruskan istiqamah dalam proses perubahan," coretnya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram miliknya.
Bahkan, dalam entri tersebut, Joy turut berkongsi 11 tips bagaimana dirinya kekal beristiqamah dalam meneruskan penampilannya yang lebih diredhai-Nya.
1. Selalu stalk wanita-wanita yang berhijab cantik.
2. Tengok ikon wanita yang baik dan menutup aurta.
3. Cari dalam Google/Pinterest fesyen berhijab.
4. Selalu kenakan solekan ringkas walau berhijab supaya tak nampak wajah pucat sangat.
5. Bergaul dengan kawan-kawan yang berhijab.
6. Rapatkan diri kita dengan kawan-kawan yang selalu rapatkan diri dengan Allah.
7. Yang tak kuat iman macam saya, selalu cuba mengaji dengan ustazah walau merangkak baca iqra sampailah dapat baca al-Quran.
8. Kurangkan pergaulan dengan kawan-kawan yang seksi atau tidak berhijab sebab kadang-kadang syaitan ni selalu hasut nak kita seksi macam kawan kita.
9. Pandang wanita berkhimar dan berhijab tu dengan rasa kagum sangat.
10. Elak stalk wanita tak berhijab dan yang menunjuk keseksian dalam sosial media sebab takut kadang-kadang iman tak kuat tiba-tiba pakai hijab pun on off.
11. Cari kawan-kawan sekeliling yang jaga rapi tentang solat sebab lama-lama kita yang sekejap solat sekejap tak ni akan terikutikut sikap mereka yang begitu rapi menjaga solat setiap hari .
Sebelum ini, Joy juga pernah tampil dengan imej berniqab kerana bimbang dengan penampilan seksi.
Usahawan berusia 33 tahun itu pernah mencuri tumpuan industri apabila mendirikan rumah tangga dengan penyanyi Hafiz Hamidun pada 1 Mei 2017.
Bagaimanapun, hubungan mereka terlerai selepas disahkan bercerai talak satu pada 25 Oktober 2017.
Terdahulu, menerusi perkahwinan pertamanya Joy dikurniakan seorang anak lelaki bernama Arryan Firdaus.