Laman Utama
Kurma Sejuk Beku Tahan Sampai Setahun
Tak perlu menunggu bulan Ramadan untuk merasai pelbagai jenis kurma, sekarang anda boleh mendapatkan kurma sejuk beku yang diimport khas dari Mesir.
Bagi pengimport dan pembekal kurma sejuk beku, Ilhamtaufiq Group Sdn Bhd, yakin mampu mengekalkan sasaran jualan 100 tan tahun depan.
Ketua Pegawai Operasi Ilhamtaufiq Group, Mohd Taufiq Firdaus Ishak berkata, jualan Premium Kurma Sejok yang diimport dari Mesir, mencecah 100 tan tahun lalu dan menghampiri sasaran sama setakat tahun ini.
"IlhamTaufiq ini adalah yang pertama menjual kurma segar atau juga dikenali Kurma Ruthob segar secara besar-besaran dan mendapat sambutan yang hangat. Untuk kumpulan pertama, kami berjaya menjual sebanyak dua tan bersamaan 200,000 pek.
"Kami turunkan kurma dari pokok dan terus dimasukkan dalam pengangkutan sejuk. Ini inovasi yang diperkenalkan supaya buah tiba dalam keadaan baik, hanya perlu masukkan dalam peti sejuk beku," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Ilham Nordin, berkata, perniagaan Kurma Sejok bermula sejak 2020 di mana syarikatnya menawarkan kurma segar secara besar-besaran.
"Sewaktu kami menjualnya secara dalam talian, permintaannya sangat tinggi, terutama bagi mereka yang pernah menikmatinya sewaktu mengerjakan ibadah haji. Memandangkan ia kurma segar, ia susah dibawa pulang kerana mudah rosak.
"Justeru kami menggunakan pengangkutan sejuk dengan suhu -22 darjah Celsius, bagi memastikan kurma kekal segar apabila sampai ke Malaysia.
"Jika disimpan secara sejuk beku, ia boleh tahan antara enam bulan hingga setahun. Jikalau kurma ini di simpan dalam suhu bilik, ia hanya mampu bertahan selama 10-12 jam sahaja," katanya.
Pengangkutan kurma berkenaan dari Mesir akan mengambil tempoh sebulan hingga dua bulan dan dalam tempoh itu buah yang merah dan kelat akan menjadi hitam dan manis secara semulajadi, sekali gus mengekalkan nutrisinya.
Pihaknya melaksanakan sistem edaran kurma menerusi ejen dan stokis seluruh negara dengan sasaran 300 ejen berbanding 150 sedia ada.
"Apa yang mereka perlukan hanyalah peti sejuk beku untuk menyimpan kurma berkenaan, bermula sebagai ejen mini dengan pembelian 25 bekas Kurma Sejok atau 49 bekas untuk ejen berharga RM35 setiap satunya atau pada harga promosi RM100 untuk tiga bekas.
"Mereka bukan saja mendapat bahan pemasaran, malah bimbingan dan ganjaran daripada kami," katanya.
Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Premium Kurma Sejok boleh hubungi 018-2582418 @ilhamtaufiq.hq (fb & ig) atau layari www.ilhamtaufiq.my