Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Lagu Malissa Sentuhan Pemuzik Luar Negara Lebih Beri Kepuasan

Elrafaei Sapi 24/07/2018 | 14:50 MYT
Artis memilih studio rakaman di luar negara bukanlah perkara baru yang sering berlaku dalam industri muzik tempatan tapi ia lebih kepada mendapatkan kepuasan dalam karya lagu yang dihasilkan.
Akui penyanyi, Wan Cromox, kepakaran komposer dan jurutera bunyi dari luar negara memberikan pengalaman berbeza pada lagu yang dirakam mahupun remix atau diadun semula.
Bagi lagu berjudul Malissa yang dinyanyikannya sebelum ini, dia turut mendapatkan khidmat pemuzik dari negara seberang, Indonesia untuk melakukan proses remix.
“Saya buat semula susunan lagu ini sebab saya mahukan kualiti yang lebih baik daripada sebelum ini," katanya kepada Astro Gempak.
Wan menyatakan dia tidak berpuas hati dengan kualiti lagu asal itu sebelum mengambil keputusan melakukan proses remix lagu tersebut di luar negara.
Meskipun karya tempatan sepatutnya mengangkat bakat sendiri sama ada dari peranan komposer, penulis lirik, pemuzik dan rakaman di studio tetapi Wan melihat faktor lagu yang dirakam semula di luar negara lebih memberi kepuasan.
"Mereka (pemuzik luar negara) boleh memberi kepuasan pada kita yang membayar khidmat mereka.
"Saya bukan menidakkan bakat pemuzik tempatan tapi sejujurnya, jika kita sebagai pendengar muzik pastinya mengakui lagu dari Indonesia sedap didengar yang memberikan suatu kepuasan," katanya.
Menariknya, lagu Malissa yang pernah menjadi lagu tema drama sebelum ini turut menampilkan klip video di YouTube yang kini ditonton seramai 14,113 pengunjung.
Lagu ciptaan Firdaus Masri ini turut menampilkan Duta Band mengisahkan bagaimana seorang isteri yang bersikap curang terhadap suami.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
#Malissa #Wan Cromox
;