BERITA
Lagu Semangat Untuk Harimau Malaya Dituduh Ciplak Lagu Indonesia, Ini Penjelasan UNIC!
Penyanyi ahli kumpulan UNIC, Wan Najdi Wan Mohd Noh terkejut apabila lagu nyanyian mereka untuk pasukan bola sepak kebangsaan sempena kelayakan Piala Dunia 2022 / Piala Asia 2023 malam tadi telah dituduh diciplak melodi dan muzik dari sebuah lagu Indonesia.
Najdi berkata, peminat bola sepak di negara jiran itu mendakwa UNIC telah menggunakan melodi lagu Mungkin nyanyian Melly Goeslaw.
Menjelaskan perkara tersebut, Najdi berkata lagu semangat untuk pasukan bola sepak negara itu dihasilkan pada tahun lalu dan diambil melodinya daripada lagu popular UNIC iaitu Ainul Mardhiah yang dihasilkan pada tahun 2002.
“Ia bermula selepas kami memuat naik lagu tersebut di Instagram. Selepas itu peminat bola sepak Indonesia mengecam serta menghentam UNIC di laman sosial.
“Mereka menuduh Malaysia terdesak memenangi perlawanan sehingga terpaksa mencuri melodi dan muzik mereka.
“Sedangkan sebenarnya lagu semangat untuk Harimau Malaya itu menggunakan melodi lagu Ainul Mardiah. Malah nyanyian ini dihasilkan pada tahun lalu untuk perlawanan Piala AFF Suzuki.
“Bahkan, dari pemeriksaan kami mendapati lagu Ainul Mardhiah ciptaan Munif Hijjaz itu dihasilkan lebih awal iaitu pada tahun 2002 berbanding lagu Melly yang baru sahaja keluar pada tahun 2009,” katanya kepada Gempak ketika dihubungi.
Difahamkan lagu Ainul Mardhiah versi lagu semangat untuk Harimau Malaya itu dimuat naik semula di Instagram untuk membangkitkan semangat pemain kebangsaan.
Selain warganet, sebuah portal berita di negara jiran ituturut melaporkan tuduhan terbabit dengan membuat perbandingan lagu.
"Pada kami, tiada siapa meniru siapa. Saya berharap masyarakat Indonesia dan Malaysia menghentikan pergaduhan ini kerana ia tidak mendatangkan apa-apa manfaat untuk semua,” katanya lagi.
Perlawanan malam tadi menyaksikan Malaysia berjaya menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-2.