Berita
Lalang Skrip Telefilem Pertama Selepas Koma, Bawa Erti Kemanusian dan Persahabatan
Jika produser filem agak takut untuk menerbitkan filem baru yang membawa genre patriotik, telefilem pula tetap dihasilkan sebagai karya yang dapat menyampaikan mesej patriotisme pada penonton.
Menariknya, telefilem berjudul Lalang arahan Hisyamudin Ahmad ini mengambarkan semula latar belakang Tanah Melayu pada tahun 1942 ketika Jepun menjajah negara ini.
Telefilem yang diterbitkan khusus untuk meraikan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-61 pada tahun ini memberi makna yang mendalam apabila mengangkat tema pengorbanan dan patriotik pejuang Tanah Melayu dalam mendapatkan kemerdekaan.
Di sebalik semangat patriotisme yang ingin disemai dalam kalangan rakyat negara ini, penghasilan skrip telefilem ini oleh Mazelan Manan juga mempunyai kisah tersendiri yang ingin dikongsi bersama penonton.
Ujarnya, skrip telefilem ini memberi banyak kenangan dalam hidupnya kerana ia menjadi karya pertama yang dihasilkan selepas dia beberapa hari koma dan terlantar di hospital.
"Lalang juga aku hasilkan ketika aku menjerit kesakitan di katil hospital.
"Moga Lalang memberi keinsafan pada kita tentang kemanusiaan dan persahabatan dalam membentuk sebuah negara merdeka," katanya menerusi status di Facebooknya, hari ini.
Telefilem khas ini yang dibintangi antaranya Hasnul Rahmat, Syazwan Zulkifli dan Qi Razali boleh ditonton pada 8 September ini jam 9 malam di TV1.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Facebook @Lenny