Laman Utama

Lambat Bayar Gaji, Tak Carum KWSP, Individu Layang Surat Terbuka Untuk Bubble Bee - “Majikan Bermewah-Mewahan Tapi Pekerja Tercungap-Cungap”

Izwan Isa
09/11/2023
23:57 MYT
Sponsor Banner
Lambat Bayar Gaji, Tak Carum KWSP, Individu Layang Surat Terbuka Untuk Bubble Bee - “Majikan Bermewah-Mewahan Tapi Pekerja Tercungap-Cungap”
Seorang individu yang tidak dikenali memuat naik kenyataan di TikTok mendakwa jenama pencuci mulut dan minuman Bubble Bee milik pelawak Shuib Sepahtu culas menjalankan tanggungjawab sebagai majikan dalam mencarum menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menerusi kenyataan dalam surat terbuka berkenaan, syarikat Bubble Bee dikatakan menolak bahagian gaji pekerja bagi caruman KWSP setiap bulan, namun, tiada transaksi yang berlaku pada akaun para pekerja.
“Sampai bila ya tak nak bayar KWSP pekerja? Setiap bulan dalam slip gaji untuk EPF ditolak sedangkan dalam I-Akaun KWSP tiada transaksi kemasukan duit dibuat. Ke manakah duit yang hilang hasil daripada penolakan EPF di dalam setiap slip gaji pekerja tu?
“Pekerja bukan seorang dua tapi beratus. Benda ini menjadi tanda tanya semua orang yang bekerja di bawah syarikat anda. Masuk sahaja tahun 2023 tiada sebarang pembayaran KWSP dibuat. Kalau ada pun hanya satu bulan atau pun dua bulan sahaja, itu pun sekadar mengaburi mata pihak yang lain.
“Sekarang ini dah hampir ke penghujung tahun, ke manakah bayaran bulan bulan yang selebihnya itu ya? Sejak tahun 2021 sehingga 2022 tiada sebarang isu mengenai pembayaran KWSP ni tapi masuk je 2023 hal ini menjadi semakin melampaui batas,” tulis individu berkenaan.
Selain isu caruman KWSP, syarikat itu juga dikatakan kerap lewat membayar gaji pekerja, sehinggakan melebihi hari ketujuh minggu pertama bulan berikutnya.
“Cut off gaji 23 haribulan tapi gaji tetap dapat lewat 7 haribulan ataupun lebih dari 7 haribulan. Setiap double pay dan OT dibayar lewat pertengahan bulan. Kenapa pihak anda sentiasa menunda hak pekeria bawahan anda? Anda boleh membeli warehouse yang baru tapi boleh saya tahu kenapa anda tidak mahu membayar KWSP pekerja anda?
“Orang luar boleh cakap ‘tahniah anak melayu berjaya’ tapi hakikatnya? Kebajikan pekerja hauk, berapa ramai pekerja keluar masuk dalam beberapa tahun ni disebabkan bahagian pengurusan atasan bermasalah dan isu KWSP ini juga.
“Anda nampak gah di mata orang lain tapi hakikatnya anda seperti tin kosong sahaja. Anda sangat terkenal tapi tu bukan tiket untuk anda menganiayai orang yang sedang mencari rezeki. Jagalah imej anda dengan baik, kerana bila-bila masa sahaja anda akan jatuh,” luahnya.
Individu itu juga mendakwa, aduan ke KWSP dan Buruh sudah dibuat, tetapi pihak berkenaan senyap seperti tiada aduan dibuat. Selain itu, individu yang sama turut memberitahu setiap komen di Instagram yang bertanya tentang gaji dan KWSP akan dipadam dan diblock.
“Untung RM150 juta tapi daripada berbelas belas pekerja dah jadi empat orang pekerja hanya kerana disingkirkan oleh pihak syarikat. Untung RM150 juta tapi medical claim pekerja tiba tiba tak boleh nak guna kerana ditarik balik dengan alasan sales slow dan tak boleh nak bagi kemudahan medical claim lagi.
“Untung RM150 juta tapi bonus tak mampu nak bagi dekat pekerja. Untung RM150 juta tapi nak bagi duit raya dekat pekerja pun bersyarat. Yang penting untung RM150 juta tapi dah nak masuk setahun tak bayar KWSP dan SOCSO pekerja.
“Akhir sekali, majikan bermewah-mewahan tapi pekerja tercungap-cungap. Semoga ada keadilan yang akan menyusul untuk anak-anak lebah yang telah mahupun yang sedang membanting tulang walaupun langsung tidak dihargai majikan. Mohon doakan,” tulisnya.
Individu tersebut juga turut menyertakan tangkap layar yang menunjukkan dia telah disekat daripada mengikuti akaun Shuib.

BERITA TRENDING: Watie Tak Lelah Pakaikan Shuib Stoking Hari-Hari

Sumber: TikTok
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024