Hiburan

Lancar Lagu Semasa PKP, Penyanyi Baru Fadh Majid Tak Sensitif?

Kamaruddin Razal
02/04/2020
12:57 MYT
Sponsor Banner
Lancar Lagu Semasa PKP, Penyanyi Baru Fadh Majid Tak Sensitif?
Demi menghormati saranan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19, penyanyi baharu Fadh Majid, melancarkan single perdananya, Bukan Takdirku melalui platform media sosial, Instagram dan Bigo.
Segmen yang dinamakan Borak Santai Bersama Fadh Majid itu diadakan pada 27 Mac (Jumaat) lalu, berjalan secara serentak di IG dan Bigo Live selama satu jam bermula dari 8.30 hingga 9.30 malam.
Seterusnya, pada jam 9 malam hari yang sama, video lirik lagu berkenaan dilancarkan menerusi saluran YouTube Todak Music.
Tidak hanya menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh pengikutnya, Fadh juga sempat berinteraksi secara langsung bersama guru vokal, Cikgu Shafie yang mengajarkannya teknik nyanyian, berinteraksi bersama penyanyi Shiha Zikir serta rakan media yang menyertai sesi live terbabit.
Menjawab pertanyaan media bagaimanakah perasaannya saat terpaksa melancarkan single Bukan Takdirku dalam skala sederhana menggunakan platform media sosial, bukan majlis besar-besaran sepertimana biasa kita lihat, Fadh ternyata berlapang dada dengan keadaan ini.
Malah Fadh turut menjelaskan dia dan syarikat rakamannya Todak Music, bukannya tidak sensitif apabila meneruskan hasrat untuk melancarkan lagu ini ditengah-tengah masyarakat seluruh dunia berasa terancam dengan wabak COVID-19.
“Meskipun dalam keadaan penularan wabak COVID-19 dan PKP, ada sesetengah kerja perlu kita laksanakan. Seperti pelancaran hari ini, tarikh yang dipilih sebenarnya sudah lama dirancang.
“Atas dasar kepekaan dan keprihatian, malah demi kebaikan bersama, saya dan Todak Music mengambil inisiatif untuk menjadikan platform digital seperti Instagram dan Bigo sebagai landasan utama bagi pelancaran dan promosi single ‘Bukan Takdirku’ sepanjang kita dalam penjarakkam sosial dan mengharungi krisis wabak COVID-19.
“Memandangkan ini saja cara terbaik buat masa sekarang bagi memperkenal dan mempromosikan single saya. Insya-Allah, apabila keadaan sudah reda nanti, pastinya akan ada sebuah majlis dilakukan,” kata penyanyi dilahirkan dengan nama Muhammad Fadhlullah Abdul Majid, 26.
Dalam kekalutan COVID-19 dan fokus utama masyarakat untuk sama-sama memerangi wabak ini, adakah dia tidak bimbing jika single pertamanya itu gagal mendapat perhatian umum, Fadh juga menerima apa juga ketentuan Allah SWT dengan hati yang terbuka.
“Sebagai hamba-Nya saya sudah berikhtiar, terserah kepada Allah SWT untuk menentukan perjalanan lagu ini. Mungkin berjaya atau sebaliknya, mudah-mudahan nasib berpihak kepada saya kerana saya yakin lagu ini mampu pergi jauh,” katanya lagi.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar