Hiburan
Lancar Minyak Wangi, Bunkface Akui Pening Cari Bau Sesuai
Kumpulan Bunkface yang dianggotai oleh Sam, Youk dan Paan telah melancarkan minyak wangi keluaran pertama mereka, Bunkface Revolution.
Gitaris kumpulan Bunkface, Paan berkata bau wangian tersebut dipilih sendiri oleh mereka dan proses pemilihan yang dilakukan adalah begitu teliti.
“Bau wangian Bunkface Revolution ini dipilih sendiri oleh kami dan memang saya akui sukar untuk mendapatkan bau yang sesuai.
“Boleh dikatakan berpuluh bauan jugalah yang perlu kami hidu semata-mata ingin dapatkan bau yang kena dengan jiwa kami.
“Bayangkan sampai pening kepala bila dah bau terlalu banyak, macam-macam bauan ada sampai tak tahu nak pilih yang mana satu.
“Tapi tak kisahlah sebab Bunkface Revolution ni umpama hadiah kami kepada peminat setia yang menyokong sejak dari awal penubuhan Bunkface,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.
Dalam pada itu, bercakap mengenai produk tersebut, Sam yang juga merupakan vokalis kumpulan Bunface memberitahu sudah tiba masanya untuk mereka mengorak langkah dalam bidang perniagaan.
“Saya tak kisah jika orang nak kata kami ikut trend artis lain meniaga sebab saya rasa sudah tiba masanya untuk kami memulakan perniagaan.
“Ini tahun 2016, semua orang perlukan perniagaan sebagai backup untuk masa depan. Kita tidak tahu apa yang bakal terjadi.
“Untuk survive dalam dunia ini kita tak boleh fikir sangat apa orang nak kata, jadi bila ada kata-kata negatif yang diberikan tak perlu layan, biarkan saja.
“Lagipun waktu perbincangan untuk buat perfume ni dilakukan pada awal tahun ini, rasanya belum ada lagi penyanyi yang mempunyai produk wangian kecuali Kaka.
“Alhamdulillah, ini rezeki, orang kata rezeki jangan ditolak. Tak salah jika kami nak cuba sesuatu yang baru dan saya rasa Bunkface adalah satu-satunya penyanyi berkumpulan yang ada produk wangian sendiri,” ujarnya.
Bunkface Revolution dikeluarkan dalam dua versi iaitu For Him untuk lelaki dan For Her untuk wanita.
Produk wangian mereka sudah pun berada di pasaran sejak Februari lalu dan mendapat sambutan hangat daripada peminat.
Wangian tersebut dijual dengan harga RM39.90.