Laman Utama
Landskap Di Dataran Merdeka ‘Ternoda’, Musnah Dipijak Pengunjung
Sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-65 yang disambut meriah di Dataran Merdeka 'ternoda' apabila landskap malar hijau yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) musnah akibat dipijak.
DBKL melalui Facebooknya menyindir sikap sesetengah warga kota yang langsung tidak mempedulikan landskap yang ditanam pelbagai jenis pokok di atas pembahagi jalan sekitar Dataran Merdeka dan Jalan Raja Laut.
“Seronok Min tengok lautan manusia membanjiri jalan-jalan sekitar Dataran Merdeka pagi tadi (Rabu) bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Kebangsaan. Semangat cintakan negara seperti inilah yang kita mahukan.
“Tapi dalam pada itu, ada pula sesetengah di kalangan kita yang langsung tak mempedulikan persekitaran dan keindahan kawasan... langsung rasa tak bersalah merosakkan landskap yang disemai cantik... semangat tu dah bagus... tapi caranya tak betul,” katanya dalam muat naik pada Rabu.
Jelasnya, ternyata sikap sesetengah warga kota yang mementingkan diri sendiri dilihat menjadi punca landskap-landskap yang menghiasi tempat awam musnah begitu sahaja.
Sementara itu, rata-rata orang ramai yang meninggalkan ulasan di ruangan komen bersimpati dengan apa yang berlaku serta tidak kurang juga yang menyalahkan penganjur di atas apa yang berlaku.
“Dah la pemikiran sempit perangai pula buruk. Ada hati nak sambut merdeka. Merdekakan diri dulu baru boleh keluar. Jenis manusia tiada sivik,” kata Muhammad Zulkhairi Zulkafli.
Malah bagi Aida Abrar Yusof, keadaan tidak terkawal kerana kehadiran luar biasa orang ramai di kawasan berkenaan pada Rabu turut menjadi penyumbang kemusnahan landskap di situ.
“Hanya yang pergi tahu betapa luar biasanya sambutan kali ni. Terlalu ramai orang yang datang, keadaan dah terkawal dah. Orang semua teruja nak tengok perarakan dan perbarisan tapi tempat tak disediakan bangku. Jadi berdirilah mereka di mana-mana sahaja," ujarnya.
Sumber: Sinar Harian