Laman Utama

Lantang Pejuang Kanabis Untuk Tujuan Perubatan, Syed Saddiq Jumpa Keluarga Yasin Sulaiman

Azwa Rahman
14/04/2022
00:23 MYT
Sponsor Banner
Lantang Pejuang Kanabis Untuk Tujuan Perubatan, Syed Saddiq Jumpa Keluarga Yasin Sulaiman
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang terang memperjuangkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan bertemu empat mata dengan keluarga penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman pada Rabu.
Menurut Saddiq, tindakannya mempertahankan Yasin atau nama sebenarnya Mohamad Yasin Sulaiman adalah sebagai suara bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk orang lain yang menggunakan kanabis sebagai rawatan alternatif.
“Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada saudara Yasin sebab terlepas pandang hantarannya pada Oktober lepas.
“Apa yang berlaku kepadanya adalah tangisan meminta bantuan bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk orang lain yang lama sudah menderita dan memerlukan kanabis untuk tujuan rawatan perubatan.
“Tiada mak ayah yang nak tengok anak mereka sakit dan masuk penjara sebab cari rawatan. Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk kesihatan anak-anak,” katanya menerusi satu hantaran di laman Instagram.
Jelas bekas Menteri Belia dan Sukan itu lagi, dia sering bertemu dengan ibu bapa yang terpaksa membeli phytocannabinoid CBD (cannabidiol) atau minyak CBD dari luar negara semata-mata untuk merawat anak-anak mereka.
“Mama saya pun merayu, mohon bantu saudara Yasin. Saya ada jumpa ibu bapa yang terpaksa beli CBD dari luar negara untuk anak-anak mereka. Doktor-doktor pun ada cuba bantu dapatkan CBD untuk pesakit.
“Mereka semua memerlukan ubat yang terbaik untuk kesihatan mereka. Ini persoalan antara hidup dan mati.
“Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi ‘Yasin’ yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul,” tulisnya.
Tambah Saddiq, undang-undang pengharaman perubatan kanabis sudah ketinggalan zaman dan memberi penjelasan bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik.
“Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk. WHO sendiri dah keluarkan kanabis dari senarai narkotik.
“Realitinya, bila cakap mengenai rokok, rokok membunuh lapan juta orang setiap tahun, di Malaysia sahaja 27,000. Alkohol pula tiga juta kematian setiap tahun.
“Tapi apabila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu ‘taboo’ dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan. Ingat, pesakit bukan penjenayah!,” ujarnya.
Dalam hantaran yang dimuat naik di Instagram, Saddiq turut herkongsi luahan status Facebook milik Yasin yang memuji usaha ahli politik berkenaan memperjuangkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan pada tanggal 14 Oktober 2021.
Pada 25 Mac lalu, polis menahan bekas anggota kumpulan Brothers tersebut kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara.
Penyanyi berusia 46 itu dilaporkan bakal berdepan hukuman mati.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar