Gaya Hidup

Lebih 200 Syarikat Di UK Beralih Kerja 4 Hari Seminggu

Gempak
30/01/2025
14:55 MYT
Sponsor Banner
Lebih 200 Syarikat Di UK Beralih Kerja 4 Hari Seminggu

Lebih 200 syarikat di United Kingdom (UK) telah membuat keputusan untuk beralih secara kekal bekerja empat hari seminggu tanpa sebarang pengurangan gaji, menandakan satu lagi pencapaian dalam usaha mengubah corak pekerjaan rakyat British, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Syarikat tersebut meliputi pelbagai sektor termasuk agensi pemasaran, firma teknologi maklumat (IT) dan perundingan serta badan amal, dengan jumlah pekerja melebihi 5,000 orang.

Pengarah kempen 4 Day Week Foundation, Joe Ryle berkata sistem kerja lima hari seminggu "dicipta 100 tahun lalu dan tidak lagi relevan."

Sebaliknya, organisasinya memperjuangkan pelaksanaan empat hari bekerja dalam seminggu dengan gaji dan faedah yang sama seperti mereka yang bekerja lima daripada tujuh hari.

Beliau berkata, "Sebagaimana yang ditunjukkan oleh ratusan syarikat British dan sebuah majlis tempatan, bekerja empat hari seminggu tanpa pengurangan gaji boleh membawa manfaat kepada kedua-dua pekerja dan majikan.

"Dengan tambahan 50 peratus masa lapang, bekerja empat hari seminggu memberikan kebebasan kepada orang ramai untuk hidup lebih bahagia dan bermakna."

Perkembangan terkini ini mencerminkan populariti yang semakin meningkat terhadap corak kerja yang kurang membebankan, pada masa syarikat besar memaksa pekerja kembali bekerja sepenuh masa di pejabat.

Bank pelaburan Amerika Syarikat JP Morgan dan gergasi teknologi Amazon telah mengarahkan kakitangan mereka kembali ke pejabat setiap hari, walaupun sebelum ini membenarkan corak kerja hibrid selama lima tahun sejak pandemik COVID-19.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Asda dan Marks Spencer, Lord Stuart Rose, turut mendakwa pada Januari bahawa kerja dari rumah bukanlah "kerja sebenar."

Sebaliknya, kempen 4 Day Week Foundation bertujuan mengutamakan kesejahteraan pekerja berbanding jumlah jam bekerja.

Firma pemasaran dan perhubungan awam merangkumi 30 syarikat yang melaksanakan dasar ini, manakala badan amal, organisasi bukan kerajaan dan syarikat penjagaan sosial menyumbang 29 syarikat.

Selain itu, 24 syarikat dalam bidang teknologi, IT dan perisian serta 22 syarikat dalam sektor perniagaan, perundingan dan pengurusan turut menawarkan bekerja empat hari seminggu kepada pekerja mereka.

Satu tinjauan baharu oleh Spark Market Research mendapati 78 peratus golongan berusia antara 18 hingga 34 tahun percaya bekerja empat hari seminggu akan menjadi norma dalam tempoh lima tahun, manakala 65 peratus menyatakan mereka tidak mahu kembali kepada sistem kerja sepenuh masa di pejabat.

Pengarah Urusan Spark, Lynsey Carolan, berkata, "Golongan berusia 18 hingga 34 tahun, yang merupakan tenaga kerja teras dalam tempoh 50 tahun akan datang, dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak bercadang untuk kembali kepada corak kerja lama.

"Kumpulan ini juga menyatakan bahawa kesihatan mental dan peningkatan kesejahteraan keseluruhan adalah keutamaan mereka, menjadikan bekerja empat hari seminggu sebagai manfaat yang sangat bermakna serta pemangkin utama kepada kualiti hidup mereka secara keseluruhan."
Sumber: Astro AWANI ​
Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024