Hiburan
"Lebih Ramai Yang Memerlukan Kemudahan Hospital Berbanding Saya" - Elyana Hentikan Rawatan Kimoterapi
Selepas lapan tahun bergelut dengan penyakit kanser limfoma, penyanyi Elyana memutuskan untuk berhenti menjalani rawatan kimoterapi.
Pilihannya itu bagi memberikan ruang kepada mereka yang lebih memerlukan untuk menggunakan kemudahan di hospital.
"Sekarang, negara kita sedang dilanda Covid-19. Jadi, saya rasa lebih ramai lagi orang yang memerlukan kemudahan di hospital berbanding saya.
"Lagi pula, saya sendiri sudah lama sakit dan dapat tahu situasi penyakit saya sekiranya ia teruk. Setakat ini, alhamdulillah," katanya kepada Harian Metro.
Kali terakhir Elyana menjalani rawatan adalah pada awal tahun lalu.
"Ketika itu, saya menjalani rawatan kecemasan iaitu radioterapi memandangkan kanser sudah menular dan memberi kesan buruk pada tulang serta saraf saya.
"Penularan itu menyebabkan saya hampir lumpuh.
"Selepas itu, doktor menyarankan saya supaya menjalani rawatan kemoterapi, tapi saya tak buat kerana banyak perkara yang saya fikirkan antaranya tanggungjawab saya dan juga anak-anak yang sedang membesar," katanya.
Kongsi Elyana, tahap kesihatannya yang baik itu mungkin kesan daripada amalan pemakanannya.
"Saya fikir apa yang membuatkan saya bertahan adalah pengambilan makanan semula jadi.
"Saya kurangkan pengambilan ubat, sebaliknya, amalkan pemakanan sihat," ujarnya.
Elyana sebelum ini mendedahkan dia menderita kanser limfoma tahap empat selepas tersingkir dari rancangan realiti Gegar Vaganza 2017.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian