Lelaki Jepun Berkimono Didakwa Cari Ahli Keluarga Hilang?
Misteri kelibat lelaki Jepun yang dilihat berlegar-legar di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang baru-baru ini dipercayai sedang mencari ahli keluarganya yang hilang.
Difahamkan individu tersebut membawa sekeping foto lama yang memaparkan imej seorang perempuan berkulit cerah.
Salah satu pengguna laman Twitter turut memaklumkan bahawa dirinya bertemu dengan lelaki tersebut yang mendakwa sedang mencari ahli keluarganya.
"Aku jumpa dia dekat lobi KLCC, adik dia hilang. Aku suruh dia pergi buat laporan dekat pondok polis luar tu.
"Tak pasal-pasal dia masuk KLCC balik. Kasihan," tulis pemilik akaun bernama Fitri Johari.
Hal itu dikuatkan lagi apabila seorang pengguna lain turut mengakui menghampiri lelaki Jepun tersebut untuk membantunya.
"Semalam dia ada dekat KLCC, saya ada tanya dia dan dia tengah cari kakak dia yang hilang," tulis pengguna akaun @_wanelli.
Beberapa hari lalu, kelibat seorang lelaki lengkap berpakaian tradisional Jepun dengan kimono berlegar-legar di stesen transit aliran ringan (LRT) menjadi tanda tanya.
Individu itu kemudian dilihat merayau di beberapa lokasi tumpuan di ibu kota.
Kisah lelaki tersebut kemudian mendapat perhatian pengguna laman sosial yang turut berkongsi pengalaman sama bertemu dengan lelaki Jepun yang dikatakan sesat pada awalnya.
Perkongsian foto lelaki berkenaan sudah mencecah hampir 1,500 kali ulang kicau di Twitter.