Laman Utama
Lepas 7 Tahun Kerja Bersama, Altimet Dan Pengurus Tubuh SVL TAN Management
Penyanyi rap terkenal, Altimet mengembangkan kariernya dalam industri hiburan dengan berganding bahu bersama pengurusnya, Yasmeen Zainal menubuhkan syarikat mereka sendiri iaitu SVL TAN Management.
Menurut Altimet yang juga merupakan Pengarah Kreatif SVL TAN Management, pengalaman hampir 35 tahun berada dalam industri membuatkan mereka bersedia untuk mengorak langkah lebih jauh.
“Apa yang membezakan SVL TAN Management dengan yang lain? Sudah tentu pengalaman 35 tahun kami di dalam industri hiburan. Kami mempunyai pengetahuan yang mendalam dan kini sedia untuk menjangkau melebihi batasan tersebut.
“Kami juga sedia untuk menggegarkan dan menetapkan tanda aras baharu industri bagi rakan-rakan kami di dalam industri hiburan tanah air,” ujarnya.
Dalam pada itu, CEO SVL TAN Management, Yasmeen Zainal menyatakan peranannya sebagai pengurus Altimet adalah penyebab utama dia ingin memulakan syarikat pengurusannya sendiri.
“Saya amat bersemangat tentang industri hiburan dan sebagai pengurusnya, ia telah memberikan saya peluang untuk melihat bagaimana kesemua di dalam industri ini bergerak.
“Ia merupakan peranan 360 darjah yang menyeluruh meliputi kesemua aspek kariernya dan amatlah menakjubkan untuk melihat bagaimana ianya berkembang.
“Pengalaman yang ditimba selama ini bersama dengan pengetahuannya adalah apa yang saya harapkan boleh melonjakkan industri ini kepada tahap yang lebih tinggi.
"Kami memulakan SVL TAN ketika COVID-19 melanda awal tahun lalu dan kami sangat bersyukur kerana berjaya menjalankan operasi seperti biasa walaupun terdapat banyak cabaran yang ditimbulkan oleh wabak ini.
"Sebenarnya kami ingin melancarkan SVL TAN secara rasmi dari awal tahun lepas namun kami ingin mengutamakan bakat dan memberikan fokus pada perniagaan terlebih dahulu," jelasnya.
SVL TAN Management kini mempunyai lima bakat tempatan di bawah pengurusan mereka iaitu chef selebriti, Sherson Lian, penyampai radio, Haniff Hamzah, penyanyi, Hazama, Saint Kylo dan Altimet.
Untuk info, Yasmeen mula mengorak langkah ke dalam industri hiburan seawal tahun 90-an sehingga kariernya berkembang sebagai Pengurus Artis di Kartel Records dan telah bekerjasama dengan ramai bakat-bakat hiburan termasuk rapper yang telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah, penulis lagu dan juga produser, Altimet.
Setelah bekerja bersama selama 7 tahun, Altimet dengan tanpa sebarang keraguan pasti bakat Yasmeen mampu untuk terus berkembang daripada peranan semasanya.
Graduan Multimedia Kreatif tersebut telah menunjukkan kebolehannya beberapa kali antaranya sebagai Produser Eksekutif untuk tiga albumnya, dua kali sebagai pengurus pentas untuk persembahannya di Anugerah Juara Lagu dan juga sebagai pengurus jelajah untuk persembahannya di London dan Amerika Syarikat.
Pada waktu yang sama juga Yasmeen Berjaya mendapatkan tawaran pengendorsan, mengendalikan penjenamaan, pemasaran, dan juga bekerjasama dengan pihak media serta pelbagai syarikat global.