UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Viral

Lepaskan Lapan Das Tembakan Di Pusat Beli-Belah, Lelaki Warga Tempatan Sedang Dijejaki Polis

Gempak 08/02/2025 | 16:55 MYT

Seorang lelaki warga tempatan telah melepaskan lapan tembakan di dalam sebuah pusat beli-belah di sini, pada Sabtu, sebelum bertindak melarikan diri.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memberitahu Astro AWANI, susulan insiden tersebut, seorang lelaki telah tercedera akibat terkena tembakan di bahagian kaki, dan telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan.

Lelaki itu pula, katanya lagi, bertindak melarikan diri dari pusat beli-belah tersebut, dan polis kini sedang berusaha menjejaki individu berkenaan yang dipercayai masih berada di kawasan berhampiran.

“Suspek telah meninggalkan mall itu, dan kita ada maklumat dia berada di luar kawasan tersebut. Jadi mall itu buat masa ini selamat, dan kita akan release (izin untuk dibuka semula seperti biasa) pusat beli-beah itu dalam masa terdekat.

“Suspek itu kita percaya seorang warga tempatan, cuba melarikan diri daripada mall itu dengan menaiki satu kereta yang ditumpang (dinaiki) secara paksaan. (Bagaimanapun) individu (pemilik kenderaan) tersebut dah buat laporan polis baru-baru ini, dan kita percaya dia (suspek) masih cuba melarikan diri.

“Maksudnya (suspek) tak ada kenderaan sendiri, saya mohon orang awam yang ada maklumat atau mencurigai seorang lelaki, untuk hubungi pihak polis dengan segera,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Terdahulu, Astro AWANI melaporkan ratusan pengunjung yang sedang berada di dalam sebuah pusat beli-belah di Shah Alam berada dalam keadan cemas apabila berlaku satu insiden tembak-menembak di lokasi berkenaan.

Berdasarkan video yang tular, kelihatan para pengunjung yang berlari-lari mahu segera menjauhkan diri dari lokasi kejadian, sementara ada yang lain masih keliru dengan kekecohan yang terjadi.

Pada masa yang sama, tersiar beberapa video yang dimuat naik pemilik akaun peribadi di aplikasi media sosial yang antaranya menunjukkan keadaan mereka yang sedang tertanya-tanya dan gelisah, serta berlindung di dalam premis perniagaan di dalam pusat beli-belah berkenaan.

Dalam pada itu Hussein berkata, siasatan awal mendapati lelaki tersebut pergi ke pusat beli-belah itu dengan tujuan tertentu, dan melepaskan tembakan ke arah seorang pekerja di situ.

“Saya boleh katakan ini adalah kejadian terpencil, lelaki itu ada tujuan tertentu, dia pergi ke mall itu dan dia telah melepaskan tembakan ke arah seseorang pekerja itu, kemudian melarikan diri,” katanya lagi.

Beliau berkata, selain operasi menjejaki suspek, polis kini sedang mengumpulkan bahan bukti serta keterangan daripada saksi.

Selain itu Hussein turut menggesa orang ramai untuk berwaspada dan terus melaporkan kepada polis sekiranya ternampak individu yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Sumber: Astro AWANI

#PDRM #Setia Alam #Kes Tembak
;