Laman Utama
“Letaklah Harimau Mengilai Ke, Harimau Beranak Ke, Harimau Kentut Ke” - Ibu Neelofa Mohon Maaf
Pengasas Aunty Tini Kitchen yang juga Ibu kepada Neelofa, Datin Kartini memohon maaf di atas kata-katanya dalam sebuah video yang tular di laman sosial.
Menurut Kartini, dia mengakui kata-kata mengenai tindakannya mempatenkan cap dagangan daging harimau menangis memberi kesan kepada orang ramai.
“Saya dengan rasa rendah diri memohon maaf kepada anda semua di atas kata-kata saya tentang daging harimau menangis.
“Insya-Allah di masa hadapan, saya lebih berhati-hati lagi dengan kata-kata saya dan saya harap dia tidak dipanjangkan dan saya akan cuba untuk perbaiki lagi dan menjadi seorang muslimah yang lebih baik,” jelasnya menerusi satu video.
Menerusi video yang diambil daripada IG story miliknya, Kartini memberitahu produk keluarannya itu telah dipatenkan cap dagangan dan orang lain tidak boleh menggunakan nama tersebut lagi.
“Daging harimau menangis ni kita dah trademark tau. Brand Aunty Tini. Tak boleh guna harimau menangis. Letaklah harimau mengilai ke, harimau beranak ke, harimau kentut ke tapi bukan harimau menangis,” katanya.
Video tersebut mengundang rasa marah wargamaya apabila beranggapan nama harimau menangis tersebut merupakan kata nama am yang bererti bahagian tertentu pada seekor lembu dan ia telah lama digunakan.
Malah, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, pihak Kartini memaklumkan permohonan untuk capdagang tersebut bersifat untuk melindungi penggayaan, susun atur grafik, kod warna dan tulisan Harimau Menangis pada bungkusan produk.
Mereka juga mendakwa tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk menjual produk yang sama selagi ia tidak menyerupai bungkusan produk yang dipasarkan.
Kemarahan wargamaya yang memuncak ini telah menyebabkan perkataan harimau menangis, Kelantan dan Kardashian menjadi trending di Twitter.