Hiburan
Lia Natalia Serik Kongsi Bahagia, Enggan Ulang Kesilapan Lalu - “Bila Tiba Masa Saya Akan Bagitahu”
Pelakon Lia Natalia mengakui sudah serik untuk berkongsi kebahagiaan di media sosial kerana tidak mahu kejadian yang berlaku pada tahun 2021 berulang kembali.
Menurut Lia, atau nama sebenarnya Alia Afigah Abden, 32, dia masih belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.
Jelasnya, jika jodohnya sudah tiba, dia akan memberitahu orang ramai mengenai berita baik itu.
“Doakan je yang terbaik. Bukan apa, benda dah terjadi sebelum ini kita sudah war-warkan dah tak jadi dan bila benda itu terjadi sekali lagi pandangan orang luar cakap apa pula.
“Jadi biarlah ianya berlaku. Bila tiba masa, tepat pada masanya, saya akan bagitahu,” katanya kepada Gempak.
Lia Natalia berkata demikian ketika menghadiri malam gala filem Papa di Sunway Velocity, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam masa sama, aktres itu juga mengakui dia sedang dalam fasa mengenali seseorang, tetapi dia berharap individu berkenaan tidak mempunyai status sebagai suami orang.
“Saya banyak berkawan buat masa sekarang ini.
“Sekarang ini pun saya sedang dalam fasa mengenali hati budi yang penting lelaki itu single (belum berkahwin),” jelasnya.
Selain itu, Lia juga menyatakan salah satu faktor mengapa dia tidak berfikir untuk mendirikan rumah tangga buat masa ini adalah kerana dia terpaksa ulang-alik dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah, untuk menjaga ayahnya yang sedang sakit.
“Saya pun banyak benda yang perlu difokuskan dahulu kerana ayah saya tidak berapa sihat di Tawau, Sabah.
“Saya juga terpaksa ulang-alik. Itulah sebabnya saya tidak mempunyai masa untuk berfikir ke arah itu,” kongsinya.
Sekadar info, pelakon Lia Natalia pernah mendedahkan dia terpaksa membatalkan perkahwinannya pada tahun 2021 atas sebab-sebab tertentu.
BERITA TRENDING: Beg Bagasi Rosak ‘Teruk’ Selepas Melancong, Norman Hakim Luah Rasa Kesal - “30 Saat Saya Istighfar…”