Laman Utama

Lincah, Cantik, Berbakat! Wandted Tiru Dolla?

Amri Hassan
23/11/2023
11:55 MYT
Sponsor Banner
Lincah, Cantik, Berbakat! Wandted Tiru Dolla?
Menjalani latihan jitu selama dua tahun, enam gadis cantik dan berbakat bergabung membentu kumpulan M-pop, Wandted kini bersedia untuk berjuang dalam persada hiburan tempatan.
Kata anggota kumpulan Wandted, Aela, mereka telah rutin latihan vokal, tarian, penataan gaya dan skil komunikasi di bawah bimbingan guru seperti dilalui grup K-pop sebelum tampil dengan single pertama berjudul Cinderella.
"Kami melalui tapisan ketat sebelum diserap sebagai tunjang Wandted sekitar 2020 termasuk menyertai kem latihan di bawah bimbingan tenaga pengajar profesional.
"Walaupun mempunyai asas vokal serta tarian dan kemudian digabungkan dalam Wandted yang sememangnya landasan untuk kami memperjuangkan muzik M-pop.
"Namun asas saja tidak mencukupi, kerana umpama ke medan perang, kita perlu bersedia dari segi strategi, latihan serta senjata lengkap.
"Disebabkan itu syarikat pengurusan mewajibkan kami memasuki kem latihan selama dua tahun meliputi pemantapan vokal, tarian, komunikasi, penjagaan imej serta aspek utama lain
"Apabila single Cinderella ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh dilancarkan bermakna Wandted sudah bersedia menyahut cabaran menembusi arena muzik," katanya.
Selain Aela, kumpulan yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Echovibes Communications dan Civicas Networks turut membariskan Bell, Rae, Ann, Rika dan Deanna.

Serupa Dolla?

Mengakui persamaan dari segi imej berani bereksperimentasi dengan gaya selain muzik diperjuangkan membuat ada yang mengatakan mereka menyerupai Dolla.
Tegas Deanna pula, kenyataan tersebut sukar disangkal memandangkan gaya seksi gadis berusia 20-an selain genre dibawakan membuatkan mereka tampak serupa. Ann yang juga koreografer mengakui kehadiran Wandted bukan untuk menyaingi sesiapa mahu pun grup sedia ada sebaliknya menawarkan alternatif kepada pendengar.
"Cita rasa peminat muzik berbeza, jadi kenapa tidak kita berikan pilihan apatah lagi menawarkan genre M-pop yang berpaksikan alur irama kegilaan generasi masa kini dari Korea Selatan.
"Negara itu melahirkan banyak kumpulan K-pop popular hingga mampu menembusi pasaran antarabangsa, sekaligus kami yakin genre ini juga mampu berkembang pesat.
"Melihat pencapaian bintang K-pop, Wandted tidak gentar menyahut cabaran melalui sesi latihan selama dua tahun yang memberikan impak tersendiri," kongsinya lagi.

Lagu pertama Cinderella

Bercerita lanjut mengenai Cinderella yang dilancarkan 3 November lalu, Bell pula meluahkan rasa teruja dengan respons pemerhati muzik.
Rata-rata memberikan maklum balas positif kepada lagu serta video muzik yang menonjolkan kekuatan dalaman serta pemerkasaan wanita seperti dalam lirik.
"Cinderella istimewa apabila mempunyai kekuatan dari segi alunan instrumen yang menggambarkan konsep ‘fairytale’ bertepatan dengan tajuknya.
"Secara tidak langsung kami mengangkat tema pemerkasaan wanita, manakala irama serta seni kata 'catchy' menyuntik semangat jitu," kongsinya.
Bagi seorang lagi tunjang Wandted, Rika yang pernah menjadi protege Stacy dalam Mentor Melinia, peluang serta kepercayaan diberikan syarikat tidak mungkin disia-siakan.
"Istimewanya Wandted adalah gabungan enam anggota yang agak jarang dilihat kerana kebiasaannya grup seperti ini antara empat dan lima orang saja.
"Ini semua cetusan idea syarikat pengurusan yang menaruh keyakinan tinggi terhadap formula 'the more the merrier' terutama membabitkan grup berpaksikan nyanyian dan tarian.
"Dari segi keserasian pula sememangnya pertama kali dipertemukan kami sudah sekepala kerana kami hampir sebaya, selain 'gila' menari, jadi semuanya bagai dipermudahkan," luahnya.
Video muzik Cinderella edaran One Stop Music (OSM) Berhad boleh diikuti menerusi penstriman digital di semua platform bermula 7 November lalu.
Sementara itu, peminat juga diundang menyaksikan persembahan Wandted di Festival Gempak Viral l di Pasar Seni, pada 24 November pukul 3 petang.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar