Laman Utama
Linda Evangelista Dedah ‘Kebodohan’ Dera Diri Demi Kerjaya Model & Badan Saiz 0
Bekas supermodel terkenal, Linda Evangelista sebelum ini menarik perhatian umum apabila mendedahkan mengalami gangguan kesihatan mental akibat prosuder pembedahan bentuk badan yang tidak menjadi.
Lantaran itu model berusia 57 tahun tersebut telah mengemukakan saman bernilai RM224 juta terhadap sebuah pusat kecantikan yang disifatkannya sebagai telah menjahanamkan bentuk tubuh miliknya, tahun lalu.
Namun pada Julai lalu, Evangelista mendedahkan saman yang dikemukakan telah diselesaikan tanpa menyebut butiran lanjut mengenainya.
Terkini, model yang berasal dari Kanada ini menjadi wajah hadapan Vogue British untuk keluaran September.
Menerusi temubual yang dilakukan, dia mengenang kembali zaman awal menjadi model sekaligus mendedahkan kepayahan dirinya untuk kekal cantik, langsing dan mempunyai saiz badan 0.
Akui Evangelista, demi memastikan sentiasa mendapat perhatian dan kerja, dia pernah tidak makan dan hanya minum.
“Jika makan, kadangkala hanya sebiji epal atau sebatang sederi,” katanya.
Dia kemudian menambah: “Saya pernah memakai korset selama lapan minggu dan tidak ada perubahan pun (tubuh badan).”
Hal hal sedemikian yang memicu dirinya mengalami masalah kesihatan mental iaitu kemurungan apa lagi setelah melakukan banyak usaha dan berhabis wang ringgit untuk memastikan dirinya kelihatan sama seperti dahulu.
“Saya menghabiskan duit hanya untuk memastikan badan kekal dalam saiz 0. Saya memang telah hilang akal,” akuinya lagi.
Malah kerana kemurungan dengan bentuk badan sekarang, Evangelista yang sempat ‘bersembunyi’ di New York dan enggan gambarnya dirakamkan lensa kamera mengaku kesihatan mentalnya pada masa kini masih belum pulih sepenuhnya.
“Adakah kesihatan mental saya sudah pulih? Tentu sekali tidak, tapi saya dalam usaha untuk menerima dan menyayangi diri sendiri,” katanya.