Laman Utama
“Lirik Lagu Sapu Rata Guna Bahasa Street, Bukan Bahasa Rempit” - MK
Setiap artis mempunyai cara tersendiri dalam mengekspresikan karya masing-masing, baik dari segi penciptaan lagu mahupun penulisan lirik. Hal ini yang turut diterapkan oleh MK menerusi single terbaharunya, Sapu Rata.
Sungguhpun menggunakan bahasa yang tidak formal seperti perkataan campuran gua, lu dan awek serta kata-kata Bahasa Inggeris dalam Sapu Rata, namun, pemilik nama lengkap, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, itu menjelaskan, lagu berkenaan tidak menggunakan bahasa rempit.
“Lagu ini tidak menggunakan lirik ‘rempit’, tetapi street word, yakni bahasa yang di luar formaliti. Dalam bahasa yang lebih mudah, bahasa yang saya gunakan dalam lagu ini adalah bahasa street.
“Penggunaan bahasa ini bukanlah secara suka-suka. Selain Sapu Rata merupakan single yang dibikin selepas saya bergelar duta permainan video PUBG, lagu ini juga dihasilkan untuk menarik perhatian komuniti gamers dengan penggunaan lirik yang lebih santai,” katanya.
MK berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Sapu Rata di ibu kota baru-baru ini. Pada majlis berkenaan, klip video Sapu Rata juga dipertontonkan kepada pihak media.
Dalam pada itu, MK menambah, penerbitan lagu Sapu Rata dengan bahasa street tidak bermakna dia dan kumpulannya, K-Clique mengabaikan bahasa Melayu yang dijadikan bahasa utama dalam penyampaian lagu-lagu mereka sebelum ini.
“Apabila bercakap tentang penggunaan bahasa Melayu dalam lagu, kami ada menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam lagu-lagu lain seperti lagu Veto.
“Menerusi lagu tersebut, laras bahasa yang digunakan agak tinggi dan mungkin ramai yang perlu membuka kamus untuk memahami lirik yang ditulis.
“Secara amnya, apa yang boleh saya katakan adalah penerbitan lagu-lagu kami seimbang,” katanya lagi.
Bercakap mengenai penglibatannya dengan PUBG, MK berkata, dia sebagai duta pemain video berkenaan bakal berkolaborasi untuk beberapa projek lain pada masa akan datang.
“Saya bergelar duta untuk permainan ini selama setahun. Jadi, kami telah merancang beberapa projek sepanjang mengikat kontrak bersama.
“Lagu Sapu Rata ini merupakan antara projek yang kami telah jayakan. Namun, projek-projek lain akan diberitahu pada masa ke masa,” ujarnya.
Lagu Sapu Rata kini boleh didapati di seluruh pelantar penstriman termasuk Spotify, iTunes, Apple Music, Joox, Deezer, KKBox bermula 12 November lalu.
***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!