Hiburan
Lisa Marie Presley Simpan, ‘Jaga’ Mayat Anak Dua Bulan Di Rumah Sebelum Dikebumi
Mendiang Lisa Marie Presley mendedahkan menyimpan mayat anak lelakinya, Benjamin Keough selama dua bulan selepas dia mati kerana membunuh diri sebelum dikebumikan.
Pendedahan tersebut dibuat menerusi biografi milik Lisa, From Here To The Great Unknown yang disambung tulis dan disiapkan oleh anak perempuannya, Riley Keough selepas anak penyanyi legenda Elvis Presley itu meninggal dunia tahun lalu.
Lisa yang meninggal dunia pada usia 54 tahun antaranya menulis menyimpan mayat Benjamin di rumah kerana terlalu sedih dengan pemergian anaknya pada Ogos 2020.
Mayat Benjamin disimpan di sebuah bilik dengan suhu 55 darjah untuk memastikan ia tidak berbau dan membolehkan bekas isteri mendiang Michael Jackson itu terus ‘menjaga’ anaknya, lapor Page Six.
“Di California tidak ada undang-undang yang memerlukan mayat dikebumikan dalam kadar segera,” antara catatan Lisa.
Menurut Lisa dia sedar adalah hal yang aneh untuk menyimpan dan menjaga mayat seseorang selama berbulan-bulan di rumah selepas kematian mereka.
“Saya tahu pasti ada yang berasa aneh dan takut untuk menyimpan dan menjaga mayat anak selepas mereka mati. Tapi tidak saya,” tulis Lisa lagi.
Selain menyimpan dan menjaga mayat anaknya selama dua bulan, Lisa juga mengaku berdepan dilema tempat Benjamin seharusnya dikebumikan.
Dia mengaku sempat berfikir adakah Benjamin patut dikebumikan di Hawaii atau di estet di Graceland di Memphis, lokasi bapanya, Elvis meninggal dunia dan dikebumikan.
Benjamin akhirnya dikebumikan di Graceland dan Lisa yang meninggal dunia tahun lalu telah dikebumikan bersebelahan makam anaknya itu.