Laman Utama
#ListenToAided: Dari Gangnam Style Hingga Butter, Lima Lagu K-Pop Ini Memang Beri Ledakan Luar Biasa!
Industri hiburan K-pop sememangnya memberi impak luar biasa kepada peminat hiburan seluruh dunia.
Menyentuh soal muzik, kita tidak dapat menafikan bahawa lagu-lagu K-pop sedap didengar dan sesuai dengan trend muzik semasa. Malah barisan artis K-pop juga semakin diangkat hingga mendapat pengiktirafan, paling kurang pun pencalonan dalam pelbagai anugerah besar di Hollywood.
Sebagai contoh, baru-baru ini kumpulan BTS meraih kemenangan besar di American Music Awards (AMA) dengan merangkul tiga kategori termasuk 'Artist of the Year'.
Ia bukan kali pertama BTS melakar kejayaan dalam AMA kerana untuk kategori Kumpulan Pop Terbaik, kemenangan itu adalah untuk kali yang ketiga.
Dalam #ListenToAided kali ini, jom layan lima lagu K-Pop yang mendapat sambutan hangat dan digemari di seluruh dunia!
BTS - Butter
BTS sememangnya tidak gagal untuk tampil dengan lagu-lagu yang menyengat. Seperti lagu-lagu sebelumnya, Butter juga mendapat sambutan luar biasa.
Muzik video rasmi lagu ini dilancarkan di YouTube pada 21 Mei 2021, dan setakat artikel ini ditulis, ia mendapat tontonan melebihi 636 juta.
Malah dalam #SpotifyWrapped, Butter juga berada di tangga pertama untuk Top K-Pop Song Globally.
LALISA - LISA
Meskipun masih bergelar anggota kumpulan Blackpink, Lisa juga berjaya mengorak langkah dalam lagu solonya.
LALISA berjaya mencetus fenomena, muzik videonya dilancarkan di YouTube pada 10 September lalu dan mendapat tontonan sebanyak 366,852,660 setakat ini.
Muzik lagu ini rancak dan tentu membuatkan peminat lagu K-Pop menari di rumah mahupun menggerakkan tubuh di dalam kereta!
On The Ground - ROSÉ
Selain Lisa, Rosé juga memilih untuk bergerak solo tanpa keluar dari Blackpink.
Kalau sudah mempunyai bakat dan aura luar biasa, ditambah pula dengan kualiti lagu yang mantap, tentu sekali hasilnya tidak mengecewakan.
Muzik vide On The Ground mendapat tontonan melebihi 251 juta di YouTube sejak dilancarkan pada Mac tahun ini.
How You Like That - BLACKPINK
Lagu ini memang memberi impak luar biasa. Manakan tidak, muzik videonya di YouTube telah mencecah 1 bilion sejak dilancarkan setahun lalu.
Dalam pada itu, How You Like That juga berada di tangga kelima dalam #SpotifyWrapped bagi lagu-lagu K-Pop yang paling banyak distrim secara global.
Blackpink hanya muncul pada tangga kelima selepas empat kedudukan sebelum itu didominasi oleh BTS untuk lagu Butter, Dynamite, Permission To Dance dan Life Goes On.
Gangnam Style - PSY
Sudah tentu ramai yang masih ingat dengan impak lagu ini, boleh dikatakan dimana-mana sahaja lagu Gangnam Style dimainkan ketika dilancarkan sembilan tahun lalu.
Tarian Gangnam yang ditampilkan dalam muzik video lagu ini juga menjadi ikutan ramai di platform media sosial.
Jumlah tontonan muzik video lagu ini di YouTube telah mencecah lebih 4 bilion sejak dilancarkan pada 15 Julai 2012.
Demikianlah lima lagu-lagu K-Pop yang memberi impak luar biasa khususnya bagi pencinta hiburan K-Pop di seluruh dunia. Sudah tentu banyak lagi lagu dari kumpulan mahupun artis solo yang hebat dan berbisa! Semuanya terserah kepada minat dan pilihan masing-masing.
Semoga kita bertemu lagi dalam #ListenToAided minggu hadapan!
#NOTA: Kolum ini ditulis berdasarkan pandangan tersendiri penulis, pilihan lagu juga dibuat secara rawak menerusi pemerhatian di platform media sosial. Penulis juga menghormati pandangan pembaca yang mungkin berbeza atau bertentangan.