Laman Utama
#ListenToAided: Potensi Zynakal Dapat Pengiktirafan; - "Tahun 2021 Mendapat Penutupan Yang Baik"
Tahun 2021 dirasakan berakhir dengan baik bagi rapper dan komposer Zynakal.
Hal itu diakui Zynakal yang telah memenangi kategori Komposer Muda Berpotensi dalam Anugerah Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) 2021 minggu lalu.
Bagi penulis, anak saudara kepada penyanyi Zamani itu semamngnya layak menerima anugerah tersebut kerana Zynakal memang kreatif dan sentuhan lagunya mempunyai keunikan tersendiri.
Tidak dinafikan pada awal kemunculannya, penulis didatangi rasa skeptikal, namun apabila seorang rakan sekerja mula memperkenalkan lagu 'Terbang' ketika itu, penulis mula menyukai lagu ciptaan Zynakal.
Bagi pemilik nama lengkap Muhammad Raziq Rosli itu, pencapaiannya tahun lalu bukanlah besar, namun tentunya pengiktirafan yang diterima daripada MACP itu cukup bermakna untuk dirinya.
"Bagi saya, kemenangan dalam anugerah MACP ini adalah satu penutup yang sangat baik untuk tahun 2021.
"Saya tak tampil dengan banyak lagu, dan tak berapa ada sangatlah yang istimewa dalam 2021 untuk saya, tapi syukur Alhamdulillah ada rezeki mendapat pengiktirafan dalam Anugerah MACP ini," katanya.
Menyentuh tentang lagu Sakit (bersama Yonnyboii) yang dilancarkan dua tahun lalu, Zynakal akui lagu itu masih membawa makna besar dalam kehidupannya, seperti yang pernah diluahkan menerusi laporan media tempatan sebelum ini.
"Lagu Sakit memang cukup bermakna untuk saya, dari segi penyampaian dan liriknya sebab ia bukan lagu biasa atau lagu gembira, saya mahu bercerita kepada orang tentang isu keishatan mental yang saya alami.
"Jadi lagu itu memang hidup di telinga orang, dan saya terima banyak reaksi bahawa lagu Sakit menjadi pencetus perubahan dalam kehidupan mereka, Alhamdulillah.
"Selepas lagu itu keluar juga, macam-macam berita baik yang saya dapat, paling terbaru adalah trofi MACP ini," katanya lagi.
Anugerah MACP adalah satu acara yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni yang banyak menyumbang hasil atau karya untuk perkembangan industri tempatan.
Acara itu tidak diadakan tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 yang melanda.
Meskipun kembali dianjurkan tahun ini, ia diadakan dengan skala kehadiran tetamu yang lebih kecil dalam suasana norma baru dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Hasil royalti kutipan MACP didapati daripada persembahan muzik di stesen-stesen televisyen, radio, konsert, majlis makan malam dan lain-lain organisasi yang mempunyai lesen di bawah badan berkenaan.