Laman Utama
#ListenToAided: Semangat Merdeka Masih Ons! Ini Lima Lagu Sudirman Untuk Dihayati Bersama
Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, penghibur nombor satu Asia yang tak mungkin dilupakan oleh kita semua.
Setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, pelbagai lagu Sudirman akan dimainkan bagi menambah kemeriahan selain membakar semangat cinta terhadap negara.
Minggu lalu, #ListenToAided menyenaraikan lima lagu kenegaraan nyanyian artis berbeza, hari ini, sehari selepas menyambut Merdeka, saya ajak anda nikmati lima lagu Sudirman yang berkait rapat dengan semangat nasionalisme.
Tanggal 31 Ogos
Sambutan Hari Kebangsaan umpama tidak lengkap jika kita tak dengar lagu ini. Bait-bait liriknya sangat membakar semangat patriotisme, betapa indahnya negara kita meraih kemerdekaan sejak 64 tahun yang lalu.
Lagu ini ditulis Ahmad C.B dan dinyanyikan Sudirman pada tahun 1982.
Warisan
Warisan juga tidak kurang popularnya. Lagu ini menceritakan seorang rakyat yang rela berjuang dengan cara sendiri, meskipun bukan seorang perwira.
Warisan adalah ciptaan penuh Allahyarham Syed Haron.
Hayatilah liriknya, semangat perjuangan rakyat Malaysia yang diwarisi daripada generasi terdahulu begitu jelas disampaikan!
Tegakkan Bendera Kita
Mendengar pada tajuknya sahaja, lagu ini mengajak kita untuk menghormati dan menghargai bendera Malaysia.
Jalur Gemilang adalah lambang Malaysia, sebuah negara di mana rakyatnya bersatu padu penuh harmoni tanpa mengira kaum dan perbezaan agama.
Justeru, jangan pernah lupa untuk mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali menjelang Hari Kebangsaan, Hari Malaysia mahupun sepanjang tahun!
Di Bumi Bertuah
Lagu ini agak sedih penceritaannya, ia mengisahkan tentang seorang anak yang ditinggalkan ibu bapanya. Namun kata-kata nasihat seorang ayah tidak pernah dilupakan. Begitu juga dengan segala pengorbanannya.
Di Bumi Bertuah adalah hasil ciptaan Aimen Sharif dan ditulis sendiri oleh Sudirman.
Ia dilancarkan di bawah syarikat EMI (Malaysia) Sdn Bhd pada tahun 1982.
Apa Khabar Orang Kampung
Lagu ciptaan sepenuhnya oleh Sudirman ini pula mengisahkan tentang anak kampung yang merantau mencari ilmu di kota.
Apapun yang berlaku, anak kampung itu masih mesra dan mengambil tahu tentang keadaan penduduk kampung yang lain.
Demikianlah lima lagu-lagu Sudirman yang membawa mesej nasionalisme dan kemasyarakatan yang tinggi.
Semoga semangat perpaduan yang dipupuk sejak turun temurun di negara kita dapat dikekalkan hingga ke masa akan datang.
Sehingga kita bertemu lagi dalam #ListenToAided minggu hadapan, Insya-Allah...
Kredit Foto: sudirman-arshad.blogspot.com