Laman Utama
Liza Hanim Rayakan 2 Dekad Dalam Bidang Seni Menerusi Liza Hanim 27 Years Journey In Concert
Memulakan karier dengan muncul menjadi finalis pertandingan Golden Teen Search, bakat besar yang ada dalam darah Liza Hanim membuat pemilik Vokal Terbaik Juara Lagu 2003 ini menjadi salah seorang penyanyi wanita yang disegani.
Jika tidak masakan dengan banyak lambakan penyanyi baharu, kerjaya seni pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim, 43, itu tidak pernah merudum.
Buktinya, Liza yang menyertai Gegar Vaganza musim empat kembali mempamer kredibiliti lewat penyertaan dalam program realiti sama untuk musim ke-10 iaitu All Stars Gegar Vaganza.
Setelah 27 tahun dalam industri, tembang demi tembang yang sudah fasih didendangkan seperti Siapa Sangka Siapa Menduga, Andainya Aku Bersuara, Gelisah Mimpi dan Merawat Luka Terpendam, Liza buat julung kalinya tampil dengan konsert berskala besar.
Diberi judul Liza Hanim 27 Years Journey In Concert, konsert ini dibawakan penuh bangga oleh LH Media Sdn. Bhd. dengan penganjur bersama Laugh Out Loud Entertainment.
Dan Zepp KL dipilih sebagai lokasi untuk menyatukan anak didik komposer tersohor, Allahyarham Adnan Abu Hassan bersama peminatnya pada 4 Februari 2024.
Berikrar untuk tidak mahu mengecewakan temu janji perdana bersama peminat lewat Liza Hanim 27 Years Journey In Concert, Liza sudah merencana untaian hit yang akan didendangkan pada malam berkenaan.
“Tentulah saya sangat teruja untuk mengadakan konsert setelah 27 tahun berkelana dalam dunia seni nyanyian.
“Lebih mengujakan, selain akan mendendangkan lagu-lagu popular dan malar segar dahulu, saya akan membawakan single terbaru yang dihasilkan oleh komposer hebat, Ajai iaitu Mengertilah,” ujarnya.
Mengertilah yang dilancarkan pada 15 September lalu diterbitkan oleh ISK Channel dan diedarkan oleh Indigital Music. Ia merupakan buah tangan terbaharu Ajai buat Liza Hanim selepas 20 tahun.
Melanjutkan bicara, Liza menambah, apa yang lebih penting adalah momen pertemuan penuh makna bersama peminat selepas 27 tahun bergelar penghibur yang bakal dicipta kelak.
“Liza Hanim 27 Years Journey In Concert bukan sekadar tentang saya yang akan mendendangkan lagu-lagu layaknya sebuah konsert.
“Tetapi adalah tentang pertemuan intim saya bersama peminat setia sejak 27 tahun ini serta berkenalan dengan peminat baharu yang baru mengenal Liza Hanim lewat single atau pembabitan saya dalam beberapa program seperti GV.
“Inilah momen yang saya tunggu sebagai lambang apresiasi kepada semua yang tak jemu menghargai dan menyokong karier seni saya,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengarah Urusan LH Media, Shahrin Samsudin berkata, konsert berkenaan bakal menjadi momen yang tepat buat Liza Hanim sebagai penyanyi yang sudah 27 tahun bergelumang dengan dunia seni mempunyai sebuah konsert khas buat dirinya dan peminat.
“Usia 27 tahun juga dirasakan sudah sangat signifikan dan cukup matang buat seorang penghibur berkaliber seperti Liza Hanim mempamerkan kualiti dan segudang pengalamannya.
“Justeru kami sangat teruja dan berbesar hati untuk melihat Liza Hanim 27 Years Journey In Concert terlaksana dengan sukses dan meninggalkan momen bukan hanya kepada pihak kami tetapi seluruh peminat yang sudah sekian lama ingin berada dalam ruang konsert milik penyanyi pujaan mereka ini,” ujarnya.
Liza Hanim 27 Years Journey In Concert yang turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi & Digital melalui MyCreative Ventures Sdn. Bhd.bakal diadakan pada 4 Februari 2024 di Zepp KL bermula pukul 8.30 malam.
Tiket-tiket berharga RM228 (CAT 3), RM288 (CAT 2), RM358 (CAT 5), RM388 (CAT 1), RM398 (CAT 4), RM8,000 (VIP BOX) dan RM189 (MEET & GREET) boleh dibeli menerusi www.myticketempire.com.
Konsert perdana Liza Hanim ini turut mendapat sokongan Gempak dan Sinar FM sebagai Rakan Digital dan Rakan Radio rasmi.