Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

LRT Stesen Kelana Jaya & Ampang Park Tutup 7 Hari, Rapid Rail:  “Ini Adalah Masalah Serius Yang…”

Gempak 09/11/2022 | 08:24 MYT

Berita kurang baik buat para pengguna Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT).

Selepas mengalami gangguan semalam di antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park, pihak Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan laluan tersebut ditutup atau digantung selama 7 hari bermula 6 pagi tadi.
Bagaimanapun perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Lembah Subang ke Stesen Putra Heights.
Keputusan itu mengambil kira faktor keselamatan penumpang serta masa yang akan diambil untuk mengenal pasti punca gangguan perkhidmatan.
“Semua perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan menamatkan operasi lebih awal iaitu pukul 11 malam bagi memberi lebih masa kepada pasukan kejuruteraan untuk melaksanakan kerja-kerja rektifikasi dan baik pulih.
“Pihak Rapid Rail akan berusaha untuk menyelesaikan masalah rumit ini dalam masa tersingkat. Perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan bagi menampung penumpang dan mengurangkan kesesakan di stesen-stesen yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, punca gangguan kepada komponen elektronik Sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) pada perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya masih belum dapat dikenal pasti.
“Gangguan tersebut yang mengakibatkan kehilangan signal di antara pusat kawalan dan juga tren menyebabkan tren-tren tidak dapat beroperasi secara automatik di antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park.
“Ini adalah masalah serius yang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pihak Rapid Rail dibantu pasukan khas pihak pengilang peralatan asal (OEM) Thales Group dari Toronto, Kanada bagi mencari penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang. Ini merangkumi ujian-ujian ke atas peranti dan perisian sedia ada,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Rapid Rail memaklumkan ATC yang tidak stabil dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan perkhidmatan tren LRT Laluan Kelana Jaya pada Sabtu dan Isnin lepas.
Untuk status perkhidmatan terkini dan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas perantara, orang ramai boleh merujuk saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi PULSE.
Sumber: BERNAMA

#Viral #LRT #Kelana Jaya #Ampang Park
;