Luar Biasa! M Nasir, Sheila Majid, Misha Omar, Aina Abdul & Amir Jahari Jentik Emosi Peminat Di Konsert Amal MPO: Resonance For A Reason
Dengan kehadiran lebih 900 penonton, ternyata penganjuran Konsert Amal Orkestra Filharmonik Malaysia, MPO Benefit Concert: Resonance for a Reason berjaya menambat hati peminat.
Seribu satu kenangan manis buat peminat
Konsert yang berlangsung di Dewan Filharmonik Malaysia (DFP) di bawah pimpinan maestro, Ahmad Muriz Che Rose ini telah menampilkan dua figura hebat iaitu Datuk M Nasir, Datuk Sheila Majid dan tiga penyanyi terkemuka, Misha Omar, Aina Abdul serta Amir Jahari.
Menariknya lagi, konsert ini juga turut menampilkan bakat muda Orkestra Filharmonik Belia Malaysia yang juga merupakan produk MPO.
Konsert yang berlangsung pada Sabtu ini juga ternyata meninggalkan seribu satu kenangan manis buat peminat yang hadir menyaksikan persembahan penyanyi kegemaran mereka.
Persembahan pertama dibuka dengan kelunakan suara Amir Jahari yang menyampaikan dua buah lagu OST filem Imaginur iaitu Kenangan dan Hasrat.
Kemudian pentas diambil pula oleh penyanyi bersuara merdu iaitu Misha Omar yang menyampaikan tiga lagu popularnya iaitu Sampai Bila, Cinta Adam dan Hawa serta Bunga-Bunga Cinta.
Malah peminat yang hadir juga seolah-olah jiwa mereka terbuai sebaik sahaja mendengar Misha mengalunkan lagunya dengan penuh penghayatan.
Kemunculan Aina Abdul sememangnya dinantikan oleh peminat dan kali ini penyanyi yang dikenali sebagai ‘power vokal’ ini hadir ke pentas dengan mengayakan busana sederhana.
Aina kemudiannya tersenyum sebelum menyampaikan lagu hit berjudul Puas Sudah dan Kamu.
Tidak terhenti di situ, Aina meneruskan persembahan dengan rangkaian enam lagu secara medley seperti Listen, At Last, You Make Me Feel Like A Natural Woman, Hero, When You Believe dan I Surrender hasil gubahan Gerard Salonga.
Ragam Datuk M. Nasir & Datuk Shiela Majid curi tumpuan
Acara diteruskan di bahagian kedua dengan penampilan sifu dan maestro popular, Datuk M Nasir menerusi lagu Suatu Masa dan Bonda.
Sorakan dan tepukan gemuruh semakin galak diberikan peminat selepas M Nasir menyampaikan dua lagu rancak secara medley iaitu Hukum Karma dan Pawana.
Acara kemuncak konsert dihangatkan lagi dengan kemunculan ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid namun kali ini tidak berseoranan apabila penyanyi hebat ini berduet dengan Aina menerusi lagi Jentayu.
Tidak ketinggalan, Sheila juga menyampaikan lagu berjudul Gemilang dengan gaya elegannya yang tersendiri.
Suasana menjadi semakin meriah apabila Sheila meminta peminat yang hadir berdiri dan sama-sama menyanyikan rangkaian lagu medley iaitu Bila Larut Malam dan Jelingan Manja.
Tidak lengkaplah sekiranya tiada lagu berhantu iaitu Sinaran yang sememangnya amat dinantikan oleh peminat.
Paling tidak boleh dilupakan peminat adalah apabila Sheila dengan sporting turut ikut menari di pentas.
Secara keseluruhannya, rata-rata peminat menyatakan rasa puas hati dengan konsert yang berlangsung sehingga ada yang pulang dengan senyuman.