Laman Utama
Lucu Betul! Rupanya Rambut Ramlah Ram Pernah Dibawa Lari Tikus!
Jika anda membesar pada era 80-an, sudah pasti anda masih ingat pada rambut potongan bob yang digayakan oleh penyanyi Ramlah Ram pada sampul album Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu).
Namun, mungkin ada dalam kalangan anda yang tidak tahu apakah sebab utama Ramlah Ram memotong pendek rambutnya, sedangkan dia cukup terkenal dengan rambut panjang mengurai pada awal kemunculannya.
Menurut Ramlah, segalanya bermula apabila dia perlu menata rias dirinya sendiri dan rutin berkenaan mengambil masa yang agak panjang sebelum dia boleh memulakan sebarang persembahan pentas dan acara hiburan.
“Waktu mula-mula bergelar artis, semuanya saya perlu sediakan sendiri. Dari segi rambut dan mekap, semua saya uruskan. Tiada jurusolek dan juru gaya rambut macam sekarang. Jadi disebabkan rambut saya panjang, masa yang diambil untuk bersiap jadi lama.
“Disebabkan nak cepatkan masa bersiap, saya ambil keputusan untuk potong rambut. Mula-mula potong sampai bahu, tapi bila album nak keluar, saya potong stail bob untuk nampakkan kelainan,” katanya kepada Gempak.
Ramlah ditemui pada majlis penyampaian hadiah kempen Best Products ke-26 di ibu kota baru-baru ini.
Sungguhpun begitu, ada satu hal lucu yang berlaku terhadap sisa rambut milik Ramlah.
“Disebabkan sayang sangat pada rambut yang dah dipotong tu, saya letak dalam kotak dan bawa balik kampung. Ingatkan selamat dalam simpanan, tapi tak lama lepas tu rambut saya hilang kerana dilarikan tikus!” katanya sambil tertawa mengenangkan kisah lampau.
Bercakap mengenai penglibatannya pada majlis penyampaian hadiah kempen Best Products ke-26, Ramlah menjelaskan kehadirannya bertujuan untuk memberi sokongan sebagai duta jenama berkenaan.
“Saya sudah bergelar duta untuk Best Products sudah lama… sejak sebelum COVID-19 melanda lagi.
“Jadi saya hadir hari ini bagi memberi sokongan kepada pemenang, selain menghiburkan tetamu yang datang,” katanya.
Selain Ramlah Ram, pelakon Datuk Jalaluddin Hassan dan pelakon serta pengacara Norman Hakim juga adalah duta kepada Best Product.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!