Hiburan
M. Nasir Berbesar Hati Terima Kedatangan PM ke Konsert Cipta
Penyanyi lagenda, Datuk M. Nasir berbesar hati menerima kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke konsert Dato M. N45IR Cipta pada 10 Ogos lalu.
Menghargai hasil kerja
Menurut Pelantun lagu Tanya Sama Itu Hud Hud, kedatangan Perdana Menteri ke konsert itu satu tanda bahawa beliau menghargai seni dan hasil kerjanya di dalam industri muzik.
"Saya kira, pemimpin tertinggi kita pun ada aliran yang seakan-akan dari segi apresiasi seninya. Jadi, dahulu lagi saya tahu yang dia meminati seni dan mengikuti seni muzik atau sastera.
"Jadi, saya berterima kasih kerana dia menghargai saya punya kerja dan saya rasa berbesar hati atas kehadirannya di konsert baru-baru ini," katanya kepada media semasa Majlis Apresiasi Media dan Pengumuman Khas di Shook!, JW Marriot Hotel pada Selasa.
Bukan pertama kali
Pada masa sama, M. Nasir juga menyatakan bahawa itu bukanlah pertama kali beliau berjumpa dengan pemimpin tersebut.
Sebelum ini beliau pernah sahaja berjumpa dan berbincang mengenai perkara biasa sahaja.
"Saya sudah bertemu beliau beberapa kali, tapi bukan mengenai konsert. Kami berbincang beberapa perkara biasa sahaja antara rakyat dan pemimpin," ujarnya.
Terdahulu, menerusi Konsert Datuk M N45IR Cipta penyanyi yang juga komposer itu membuat kejutan dengan meraikan ulang tahun kelahiran Anwar yang ke-77.
M. Nasir turut menyanyikan lagu Allah Selamatkan Kamu buatnya dan menghadiahkan pulut kuning.
Buat peminat yang masih belum "move on" Datuk M. Nasir sekali lagi akan mementaskan konsert Cipta di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Oktober 2024.
Namun untuk konsert kali ini, kehadiran penonton akan dihadkan kepada 6,000 orang sahaja