Hiburan
"Maaf Hanya Tempat Ketiga" - Nadia Hasnan Bawa Ulek Mayang Ke Sweden
Penyampai radio ERA, Nadia Hasnan terpaksa berpuas hati apabila mendapat tempat ketiga dalam pertandingan I-Sing World 2019 bertempat di Stockholm, Sweden baru-baru ini.
Kata Nadia, dia bersyukur dengan penganugerahan yang diberikan dan berbangga dapat membawa nama Malaysia ke peringkat dunia.
"Maaf! Hanya tempat ketiga. Pengembaraan saya untuk I-Sing World 2019 selesai.
"Insya-Allah bukan yang pertama dan terakhir kali memberanikan diri membawa nama," tulisnya berkongsi momen-momen menarik sepanjang pertandingan itu.
Selain menduduki tempat ketiga, Nadia turut dianugerahkan juara Busana Terbaik dalam acara itu.
Nadia yang anggun berbusana emas dan bercucuk sanggul memulakan persembahan dengan introduksi lagu Ulek Mayang disusuli dengan Total Eclipse of the Heart (Bonnie Tyler).
Selain Nadia, Malaysia turut diwakili Husaini Mahmur yang berjaya meraih tempat kedua.
Juara I-Sing World 2019 dimenangi oleh wakil dari Amerika Syarikat.
Pertandingan itu disertai oleh wakil pelbagai negara lain antaranya Indonesia dan Oman.
Untuk makluman, Malaysia bakal menjadi tuan rumah untuk kejuaraan I-Sing World 2020 tahun hadapan.