Hiburan
"Maafkan Deep Tak Dapat Hantar Akak 'Pulang' - Ras Adiba Selamat Bernikah Kali Ketiga, Sebak Tak Dapat Hadir Pengebumian Wafa
Personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi, 51, telah sah menjadi isteri kepada ahli perniagaan, Mohamed Azam Ali, 57, pada pukul 2.38 petang semalam dengan dua kali lafaz.
Majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam, Kuala Lumpur itu disempurnakan bapa Ras, Mohd Radzi Wahab, dengan disaksikan Imam Masjid terbabit, Yahya Mat Husin.
Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 bersama empat dulang hantaran berbalas lima. Bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.
Ia adalah perkahwinan ketiga Ras dan kedua buat Mohamed Azam.
“Sebenarnya, kami sudah lama saling mengenali, iaitu sejak masing-masing bertugas di TV3 yang ketika itu beroperasi di Jalan Liku, Bangsar.
“Bagaimanapun, ketika itu hubungan kami adalah atas paksi profesional. Malah, masing-masing tidak pernah terfikir akan bertemu jodoh.
“Disember lalu, kami berjumpa kembali pada majlis pertemuan semula (reunion) bekas kakitangan stesen televisyen berkenaan. Ketika itu, kami lebih banyak berkongsi cerita sesama sendiri,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Ras sebenarnya sudah lima tahun hidup solo selepas perkahwinan kedua berakhir.
Menurut Ras, sepatutnya pada hari ini mereka akan ditunangkan terlebih dahulu sebelum disatukan sebagai suami isteri. Bagaimanapun, selepas mendapat nasihat keluarga, ia diteruskan dengan majlis pernikahan.
“Kami pula hanya mengadakan majlis kecil-kecilan. Lagipun, ia bukan perkahwinan pertama buat saya dan suami,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Ras dikurniakan dua cahaya mata, manakala suaminya pula mempunyai enam anak.
Sebak pemergian Wafa
Sementara itu, menerusi akaun Instagramnya pagi semalam, Ras turut terkesan apabila tidak dapat hadir ke pengebumian rakan baiknya, Allahyarham Wafa Abdul Kadir.
"Hari ini hari yang teramat sukar dan gembira buat saya. Gembira kerna saya akan diijabkabulkan dengan seorang yang amat menyayangi seluruh jiwa dan raga.
"Namun hari ini juga saya kehilangan Kak Long saya. Aduhai bagaimana bisa saya tempohi dugaan yang melanda?
"Ingin sekali saya meraikan Akad ini bersama dia, namun saya sedar rancangan Illahi tiada tolak tandingnya.
"Maafkan Deep kerna tidak dapat menghantar Akak pulang Kak, namun Deep tahu Akak mahukan Deep gembira.
"Akan Deep cekalkan diri dan kawal airmata daripada mengalir di pipi. Itu janji Deep, Kak. Maaf sekali lagi, kerna adikmu ini tidak dapat bersama mengiringi dirimu untuk mengadap Illahi. Allahu," tulisnya.
Memetik laporan MStar, Ras sempat menziarahi sahabatnya itu di kediamannya di Tropicana, Petaling Jaya pada Jumaat lalu.
"Saya sedih tidak dapat mengiringi jenazah ke kubur kerana sibuk menguruskan majlis pernikahah saya. Anda nampak saya senyum tapi hati saya sedih kerana kehilangan kawan baik yang saya panggil Kak Long," katanya.
Wafa meninggal dunia pada pukul 1 pagi Sabtu akibat kanser ovari dan peritoneal dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur sekitar 11 pagi semalam.
Sumber: Berita Harian, MStar