Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Macau Scam: Tiada Artis Tampil Secara Sukarela, Pelakon Lelaki & Pengacara Wanita Popular Dipanggil SPRM

Fiza Kamarudin 20/10/2020 | 08:02 MYT
Dua selebriti terkenal terbabit dalam bidang lakonan dan pengacaraan antara beberapa artis dijangka dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
Kesemua mereka dipanggil bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram oleh sindiket Macau Scam dan perjudian dalam talian.
Artis lelaki dan wanita itu akan dipanggil memberi keterangan di pejabat SPRM selepas tiada artis diminta tampil memberi keterangan secara sukarela.
Menurut sumber, dua individu terbabit menjalankan perniagaan dan mempunyai lebih 1 juta pengikut di laman sosial.
"SPRM sudah memberi tempoh masa kepada individu terbabit untuk tampil, namun mereka berdua termasuk individu lain yang dipercayai ada kaitan dengan sindiket ini gagal hadir memberi keterangan.
"Susulan itu, SPRM akan memanggil mereka dalam masa terdekat untuk membantu siasatan," katanya.
Sumber berkata, sebelum ini SPRM meminta individu pernah menerima wang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan cuci wang oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian untuk tampil, belum ada berbuat demikian.
Pada 8 Oktober lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki meminta semua selebriti dan ahli perniagaan terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram supaya tampil membantu siasatan.
Menurutnya, arahan itu bagi mengelakkan SPRM menahan mereka yang berkenaan dalam masa terdekat.
#SPRM #Macau Scam #Pengacara Pelakon Dipanggil
;