Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

Mahu Heret Pengusaha Taska Ke Muka Pengadilan - Bapa Al Fateh

Gempak 11/09/2024 | 04:25 MYT

Ibu bapa bayi lelaki yang maut dalam jagaan pengasuh taman asuhan kanak-kanak (Taska) pada Jumaat lalu akan menuntut bela atas kematian anak syurga mereka.

Harap Pihak Berkuasa Amanah

Menurut laporan Sinar Harian, menerusi catatannya di media sosial, Facebook, Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim,39, berkata, bukan sahaja hukuman dikenakan kepada pengasuh namun dalam hal ini pengusaha taska juga perlu bertanggungjawab dan tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Menurutnya, dia berharap pihak berkuasa menjalankan amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Kami akan ambil tindakan undang-undang semaksimumnya agar menjadi pengajaran dan iktibar kepada mereka yang lain supaya tiada lagi anak-anak taska lain menjadi mangsa korban seterusnya.

"Mohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kehakiman Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya memandang serius perkara ini," tulisnya.

Dia yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi Kuala Lumpur berkata, pangkat dan jawatan diberi pihak yang terlibat untuk berkhidmat kepada rakyat dan di akhirat kelak, semuanya itu akan dihisab di hadapan ALLAH SWT.

"Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyokong dan prihatin, mohon doakan saya dan isteri terus kuat bagi meneruskan kehidupan serta perjuangan menuntut bela ini. Sama-sama kita bantu satu sama lain," luahnya.

Terdahulu, Sinar Harian pada malam Jumaat lalu melaporkan bayi lelaki berusia lapan bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri meninggal dunia di sebuah taska di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah selepas beberapa jam dihantar ke pusat jagaan itu.

Mohd Fikry Amri juga melahirkan rasa terkilan dan sedih kerana bayi sulung yang dinantikan selama 13 tahun didakwa dibedung, disumbat botol susu, tutup dengan kain dan tekup dengan bantal oleh suspek berusia 34 tahun.

Menurutnya, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya, Muhammad Al Fateh Amri dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Sumber: Sinar Harian

#Dera #Bayi #Bapa #Pengasuh #Taska #Maut #Bela #Tuntut
;