“Mak Saya Pun Suka Tengok I-Tanggang Kerana Nadhir Nasar… Sebab Dia Punya Lakonannya Mantap Dan Tak Kayu” - Netizen Terpukau Prestasi Lakonan Nadhir Nasar
Episod empat drama siri I-Tanggang baru sahaja menemui penonton semalam. Seperti yang dijangka, episod baharu kali ini turut mengundang emosi luar biasa dalam diri penonton, terutama menyaksikan watak Syafiq Hambali, lakonan Nadhir Nassar yang kecewa dengan adiknya, Syuhadah (Yuyun Hikmah) yang mengandung anak luar nikah.
Rata-rata pengguna media sosial khususnya di Twitter memberi maklum balas positif terhadap perkembangan watak Syafiq. Ada yang melahirkan rasa kasihan dan ada juga yang turut sama kecewa dengan watak remaja penghantar makanan itu.
“Dia marah bukan sebab adik mengandung. Tapi dia marah sebab dia rasa dia dah gagal,” komen seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @FarahinAriffin.
Sementara itu, pengguna dengan akaun bernama @ashrahmxn pula berkata, lakonan mantap Nadhir Nasar turut mendapat perhatian ibunya.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Mak saya pun suka tengok I-Tanggang kerana Nadhir Nasar. Sebab dia punya lakonan mantap dan tak kayu. Lagi-lagi yang hari ini punya episod. Secara keseluruhan, syabas Nadhir Nasar!,” tulisnya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengguna Twitter mendedahkan yang dirinya diselubungi emosi sewaktu menyaksikan babak konflik antara Syafiq dan Syuhadah selepas Syafiq mendapat tahu adiknya hamil luar nikah.
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Jadi, saya tonton kembali babak ini dan masih terpukau bagaimana dia (Nadhir) menyalurkan emosi menerusi dialog dan matanya. Saya dapat rasakan suaranya sedikit pecah, menjadikan babak ini lebih natural. Seperti menyaksikan babak ini berlaku di depan mata sendiri, bukan di layar kaca.
“Saya menangis untuk pengetahuan anda. Terlalu emosi bila tengok drama tetapi drama ini terlalu bagus. Persembahannya sampai ke penonton, rasanya sampai walaupun cuma daripada kaca televisyen.
"Saya hanya sangat berbangga dan puas hati dengan skrip dan lakonan. Baru episod 4 tetapi kru dan pelakon I-Tanggang dah buktikan yang siri ini akan menjadi lain daripada lain.
“Siri ini benar-benar menyentuh saya setiap minggu dengan babak-babaknya. Mereka buat kerja yang bagus. Saya ingin ucapkan terima kasih dan menghargai setiap individu yang terlibat dalam pembikinan I-Tanggang. Siri ini layak untuk terima lebih banyak tontonan,” tulisnya lagi.
I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.
Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.
Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofea, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.