Viral
Makan Hotpot Sambil Tengok Movie, Netizen Luah Rasa Risau - “Alamak! Tak Berbau Ke Nanti? Kalau Ada Lipas Macam Mana?“
Baru-baru ini, pawagam Dadi Cinema mengumumkan bakal menjadi panggung wayang pertama di Malaysia yang memperkenalkan menu hotpot kepada pelanggan mereka.
Hidangan hotpot
Berita itu diumumkan menerusi hantaran di akaun Facebook rasmi milik Dadi Cinema.
Difahamkan panggung wayang yang menawarkan hidangan set hotpot itu akan dibuka di cawangan Pavilion Kuala Lumpur tidak lama lagi.
Melihat kepada foto posting yang disiarkan, hidangan itu tidak disertakan dengan mesin hotpot seperti kebiasaan di kedai makan.
Sebaliknya, sup panas untuk menu tersebut disajikan dalam sebuah mangkuk manakala set makanan seperti sayur, daging, bebola dan sebagainya dihidangkan dalam sebuah bekas berbentuk empat segi.
Undang pelbagai reaksi netizen
Bagaimanapun sebaik sahaja pengumuman itu dilakukan ternyata perkara itu telah mengundang pelbagai reaksi netizen.
Rata-ratanya meluahkan rasa bimbang dengan idea tersebut kerana mereka beranggap hidangan hotpot boleh mengganggu fokus seseorang dan menimbulkan rasa kurang selesa.
Malah ada juga yang menyatakan idea itu akan menyusahkan pekerja untuk membersihkan sisa makanan mereka selain boleh mengakibatkan wujudnya haiwan perosak seperti tikus dan lipas.
Walau bagaimanapun, ada juga netizen yang menyukai pembaharuan dilakukan dan merasakan perkara itu tidak akan menimbulkan sebarang masalah besar.
Sehingga kini, masih belum ada lagi pengumuman tarikh yang tepat mengenai pembukaan hidangan hotpot itu.