Laman Utama

Malam Romantis, Lagu Puitis, Konsert 3 Generasi Pengubat Duka Noh Salleh

Mya Amri
29/08/2022
07:27 MYT
Sponsor Banner
Malam Romantis, Lagu Puitis, Konsert 3 Generasi Pengubat Duka Noh Salleh
Penyanyi, Noh Salleh melahirkan rasa terharu dengan kehadiran kira-kira 3,000 peminat di Konsert 3 Generasi yang berlangsung di Zepp KL pada Sabtu.
Noh yang muncul sebagai artis kedua membuat persembahan menyifatkan konsert itu sebagai pengubat duka selepas melalui beberapa siri kontroversi sebelum ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan atas sokongan anda semuai. Tahun ini, macam-macam perkara sudah saya lalui... Ini antara pengubat duka,” ujarnya.
Tampil dengan gaya santai, memakai kaca mata hitam dan senyuman manis, Noh sempat bergurau dengan mengatakan “malam ini malam romantis” merujuk kepada seleksi lagu pilihan konsertnya.
Noh menyampaikan barisan lagu solo popular antaranya Renjana, Mr Polia, Biar Seribu, Sang Penikam, Angin Kencang dan Bunga Di Telinga.
Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh juga menyampaikan rasa penghargaan kepada penganjur kerana sudi memberikan peluang untuk mempersembahkan karya seninya.
“Sejujurnya saya bangga dapat berada satu pentas dengan Spider dan XPDC serta berpeluang menunjukkan karya-karya seni Noh Salleh.
"Zepp KL adalah lokasi francais dari Jepun yang eksklusif. Bagi saya yang membesar dengan mendengar muzik dari Jepun, saya bangga dapat membuat persembahan di sini... Seperti mimpi jadi nyata.
“Jujur pada awalnya saya agak bimbang adakah yang mahu membeli tiket pada harga agak tinggi. Tetapi ternyata saya pandang rendah kepada peminat Malaysia.
“Terima kasih, nampaknya anda semua memberi sokongan kepada artis tempatan. Terima kasih sekali lagi,” katanya.
Dipertengahan persembahan,ada peminat wanita mengusiknya dengan melaungkan jeritan ‘i love you’ dan Noh kemudiannya membalas spontan dengan mengucapkan “eh, aku dah single” secara seloroh.
Bagaimanapun sejurus tamat konsert, Noh menolak untuk ditemu bual pihak media.
Selain Noh, Spider dan XPDC juga terharu dengan sambutan peminat yang hadir daripada pelbagai generasi.
Spider mendendangkan lagu antaranya Kau Saja, Mentera Semerah Padi, Kelawar Vampira, Anti Graviti, Hidupku, Mungkinkah Terjadi dan Mabok.
XPDC juga tidak kurang hebatnya dengan mempersembahkan lagu popular mereka iaitu C.I.N.T.A, Selendang Merdeka dan Semangat Yang Hilang.
Namun vokalis XPDC, Mael tidak dapat meneruskan persembahan kerana kurang sihat dan digantikan dengab anaknya yang mendendangkan tiga buah lagu terakhir.
XPDC, Spider dan Noh kemudiaannya bergabung sebelum menutup tirai konsert dengan menyanyikan lagu Semangat Yang Hilang.
Konsert 3 Generasi yang merupakan anjuran YOLO Live Sessions ini berakhir dengan sukses.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar