Hiburan
Malaysia, Indonesia, Singapura Raya Esok, Brunei Khamis!
Umat Islam di Malaysia dan Indonesia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu (10 April 2024).
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, mengumumkan tarikh Aidilfitri bagi Malaysia menerusi siaran televisyen tempatan.
“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 10 April 2024,” katanya.
BERITA TRENDING: Sah! Umat Islam Sambut Aidilfitri Esok
Selain itu, Indonesia juga akan menyambut Hari Raya Aidilfitri secara serentak bersama organisasi Islam di negara itu esok.
Timbalan Menteri Agama, Saiful Rahmat Dasuki berkata, Aidilfitri akan disambut bersama bagi seluruh umat Islam di seluruh Indonesia.
Sama juga dengan Singapura, menerusi pengumuman Mufti Negara, Dr Nazirudin Mohd Nasir, umat Islam di negara republik itu bakal meraikan Aidilfitri pada 10 April iaitu Rabu.
Brunei Darussalam pula akan meraikan 1 Syawal pada Khamis 11 April, menurut laporan Borneo Bulletin.
Pengumuman itu dibuat dengan izin Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan disiarkan menerusi Radio Televisyen Brunei malam ini (9 Apr).
Sumber: Bernama/Agensi berita/ MediaCorp