Hollywood
Malu & Mohon Maaf Persenda Kate Middleton, Blake Lively Tetap Dilabel Pembuli
Dunia dikejutkan dengan kemunculan Puteri Wales, Kate Middleton yang sejak beberapa minggu ini menjadi topik hangat kerana didakwa telah ‘hilang’ selepas foto miliknya bersama keluarga dianalisis sebagai tidak asli.
Menerusi video yang disiarkan, isteri kepada pewaris takhta Britain, Putera William itu mendedahkan dirinya menghidap kanser dan menerima rawatan kimoterapi sekaligus menjawab kepada misteri kehilangannya.
Persenda teori
Sebaik video tersebut tersebar, figura penting dan pesohor dunia termasuk selebriti menzahirkan doa agar Middleton cepat sihat.
Namun berbeza buat pelakon Blake Lively yang dilihat telah membuat permohonan maaf kepada Middleton selepas sempat mempersenda teori tentang kehilanggan wanita berusia 42 tahun tersebut.
Lively, 36, sebelum ini sempat membuat iklan minuman miliknya dengan poster mempersenda tentang penggunaan teknik photoshoot yang gagal seperti dikesan pada foto milik Middleton sebelum ini.
Sangat malu
“Saya tahu tiada siapa akan peduli mengenai kenyataan ini. Tapi saya telah membuat satu perkongsian bodoh mengenai kegagalan photoshop.
“Dan itu membuat saya sangat malu,” tulisnya di Insta Stories seperti dilaporkan Dailymail.uk.
Permohonan maaf yang dibuat Lively bagaimanapun tidak diterima baik oleh netizen apabila ramai yang meninggalkan komen dirinya memang patut malu selain telah membuli Middleton.
Netizen kritik Blake Lively
“Sekarang berita telah tersebar. Beliau sedang menjalani kimoterapi dan terpaksa berkongsi berita ini dengan tiga anak kecilnya. Anda patut berasa malu!” tulis seorang netizen.
“Anda telah membuli seorang pesakit kanser,” tulis yang lain pula.
Lively juga digelar hipokrit kerana cuba menceroboh privasi Middleton pada saat kehilangannya sedang dirinya sendiri menyembunyikan jantina dan nama anaknya.