Hiburan

"Mama Bekalkan Donut, Hantar Kami Ke Sekolah Naik Basikal Setiap Hari" - Fasha Sandha Menangis, Terimbas Memori Tinggal Di Rumah Anak Yatim

Amri Hassan
21/03/2024
01:50 MYT
Sponsor Banner
"Mama Bekalkan Donut, Hantar Kami Ke Sekolah Naik Basikal Setiap Hari" - Fasha Sandha Menangis, Terimbas Memori Tinggal Di Rumah Anak Yatim
Pelakon jelita Fasha Sandha akui mudah tersentuh dan memahami situasi yang dilalui anak-anak yatim yang hilang kasih sayang.
Pernah tinggal selama dua tahun di rumah kebajikan ketika ibunya, Hatijah Teh Man bergelar ibu tunggal, jelas Fasha, situasi itu menjadikan lebih dekat dengan dirinya.
"Kehidupan anak yatim memang cukup dekat dengan saya kerana bukan saja tak merasa kasih sayang ayah sejak usia dua tahun, saya juga pernah membesar sebumbung dengan kawan-kawan senasib.
"Waktu itu mama bekerja di sebuah rumah anak yatim di Perlis, jadi saya bersama adik-beradik lain tinggal di sana memandangkan mama juga sudah menjanda ketika itu.
"Hampir dua tahun kami tinggal di situ, bahkan saya masih ingat disebabkan mama terlampau sibuk menguruskan kanak-kanak di sana sampai tak sedar saya terjatuh longkang. Waktu itu saya berumur lima tahun," ujarnya.
Fasha yang ditemui pada majlis penyampaian sumbangan Alfaro Sdn. Bhd. kepada 1,000 orang anak-anak yatim gagal menahan air matanya apatah terkenangkan memori tiadanya figura bapa dalam kehidupannya seawal usia dua tahun.
Malah, cerita Fasha, ibunya yang mengambil alih tugas membesarkannya bersama dua lagi adik-beradiknya yang lain selama lapan tahun selepas bercerai .
“Mama buat banyak kerja demi sesuap nasi, tapi setiap hari dia tak lupa sediakan sarapan sebelum menghantar kami bertiga ke sekolah dengan berbasikal sejauh tiga kilometer.
“Walaupun serba kekurangan, tetapi mama sentiasa pastikan perut kami tak kosong, sekurang-kurangnya bawa bekal donut, itu yang buatkan kami sangat kagumi semangat mama.
“Apatah lagi zaman dulu janda dipandang serong, tak macam sekarang yang hormatkan ibu tunggal. Tapi mama kami tak hirau semua itu. Dia memang wanita hebat,” ujarnya.

BERITA TRENDING: Lagi 4 Bulan Nak Raya, Fasha Sandha Dah Siap Baju Untuk Keluarga! - "Saya Risau Terlepas ..."

Mengulas mengenai peranannya dalam jalinan kerjasama dengan Alfaro Sdn. Bhd., kata Fasha dia turut berbesar hati apabila syarikat pengeluar pakaian itu berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan.
"Alfaro sudah lama menyalurkan sumbangan kepada anak yatim, ibu tunggal serta golongan sasaran lain sejak syarikat ini beroperasi bertahun-tahun yang lalu.
"Selepas saya bersama mereka sebagai duta saya yang usulkan supaya Alfaro berkongsi program ini bagi menggalakkan syarikat lain juga melakukan perkara sama," ujarnya.
Pengasasnya, Farooq Ahmed berkata, nilai sumbangan itu mencecah kira-kira RM150,000.
"Setiap tahun kami akan membuat sumbangan buat anak-anak yatim dari seluruh Lembah Klang bagi menggembirakan mereka yang pastinya rasa sayu tanpa keluarga di sisi pada bulan yang mulia ini.
"Setakat ini 1000 pasang pakaian diberikan kepada mereka dan nilai sumbangan mencecah RM150,000," katanya.
Dalam pada itu Alfaro menyasarkan jualan sehingga RM 7 juta bagi koleksi Ramadan dan Raya pada tahun ini.

PILIHAN PEMBACA: Fasha Sandha & Nora Danish Berbaik Tanpa Paksaan Sesiapa - “Ia Berlaku Secara Natural”

Related Topics
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024